Skuad Terengganu Dirombak

Diterbitkan: Rabu, 28 September 2016 11:50 PM

Gambar fail aksi pasukan Terengganu dan Selangor pada perlawanan Liga Super 2016. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Skuad Terengganu akan dirombak secara besar-besaran termasuk barisan pengurusannya selepas tercorot dalam kempen Liga Super musim ini, kata Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Pemangku presidennya Ahmad Razif Abdul Rahman berkata tindakan tersebut terpaksa diambil susulan prestasi merudum skuad negeri itu dalam Liga Super musim ini.

Sebaliknya, katanya, PBSNT akan memberi tumpuan kepada pasukan kedua iaitu T-Team yang kini sudah mampu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

"Kita akan menambah baik pasukan T-Team bagi meningkatkan prestasi pasukan itu pada musim depan," katanya, yang juga Menteri Besar, kepada pemberita di sini pada Rabu.

Skuad Terengganu masih mempunyai peluang untuk kekal dalam Liga Super musim depan kecuali gagal mengatasi Pulau Pinang dalam aksi terakhir liga pada 22 Okt ini.

Selepas 21 perlawanan Liga Super setakat ini, Terengganu hanya menang lima perlawanan, seri empat dan kalah 12 perlawanan untuk menghuni tangga tercorot liga dengan 19 mata.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan memberi imbuhan kepada pasukan hoki negeri itu kerana berjaya menjadi juara berganda iaitu Liga Premier dan Piala TNB.

Bagaimanapun, bentuk imbuhan dan jumlah pemberian akan bergantung kepada kewangan kerajaan negeri, katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan