Adnan Minta Selesai Prestasi Hambar Skuad Tok Gajah

Diterbitkan: Ahad, 14 Ogos 2016 6:33 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) perlu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi prestasi hambar skuadTok Gajah dalam Liga Malaysia akhir-akhir ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Namun beliau optimis PBNP yang diterajui Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dapat menyelesaikan desakan penyokong yang turut mahu rombakan dilakukan terhadap pengurusan pasukan tersebut. 

"Terpulang kepada PBNP untuk memikirkannya. Biar mereka bincang dahulu dan kalau ada keperluan untuk kita (kerajaan negeri) campur, baharu kita akan lakukan," katanya. 

Adnan juga menasihatkan penyokong pasukan bola sepak negeri itu untuk bersabar dan tidak mencetuskan perkara tidak sepatutnya seperti kejadian membaling bom asap pada perlawanan antara Pahang dan Kuala Lumpur baru-baru ini. 

"Tak baik, jangan buat begitu. Adat sukan memang ada masa kalah dan ada yang menang. Pahang juga telah beberapa kali menang (sebelum ini). Kita beri dahulu PBNP selesaikan (masalah yang ada)," katanya.  

Prestasi hambar skuad Tok Gajah menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong sehingga mendesak ketua jurulatih pasukan Mohamed Razip Ismail melepaskan jawatan, meskipun beliau baharu membimbing pasukan itu selama lima bulan.

Lima kelab penyokong utama pasukan bola sepak Pahang iaitu Laksamana Tok Gajah, Family Tok Gajah, Elephant Army, Anak Pahang dan Pahang Brotherhood turut mengadakan perhimpunan di Stadium Darul Makmur pada 10 Ogos lalu mendesak PBNP memandang serius situasi terkini pasukan itu.

Mohamed Razip yang merupakan bekas jurulatih Harimau Muda B dilantik sebagai ketua jurulatih pada pertengahan Mac lalu bagi mengisi kekosongan jawatan itu selepas Ahmad Shahruddin Rosdi meletak jawatan ekoran tekanan hebat penyokong Pahang. 

Terbaharu, enam penyokong skuad Tok Gajah ditahan polis dalam siasatan berkaitan kekecohan di Stadium Darul Makmur pada perlawanan menentang KualaLumpur di Stadium Darul Makmur pada Jumaat lalu.

Perlawanan yang berkesudahan dengan Pahang menang 2-1 itu turut dicemari dengan insiden balingan bom asap di tepi padang pada minit ke-80, menyebabkan pengadil Fitri Maskon terpaksa menghentikan perlawanan selama beberapa minit sehingga bom asap dipadamkan.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Adnan Yaakob , Tok Gajah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan