Jadual Padat, Kesebelasan Terhad Sukarkan Melaka United

Diterbitkan: Khamis, 11 Ogos 2016 5:07 PM

Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Jadual padat dan barisan kesebelasan utama yang terhad antara faktor utama menyukarkan Melaka United memberi aksi terbaik pada dua saingan terakhir dalam Liga Perdana dan Piala Malaysia.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata jadual yang padat  menyebabkan pemain disenaraikan dalam kesebelasan utama keletihan, sekali gus menjejaskan prestasi mereka, selain mengakibatkan kecederaan.

Katanya sebagai sebuah pasukan baharu dalam Liga Perdana, tidak banyak pemain berprestasi tinggi yang mempunyai kemampuan bermain dalam kesebelasan utama, mahu beraksi bersama skuad Sang Kancil menyebabkan pasukan itu memiliki barisan pemain terhad.

"Sehubungan itu, hasil perbincangan dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Idris Haron), kita buat keputusan tumpukan kepada Liga Perdana dan memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda dalam saingan Piala Malaysia," katanya.

Melaka United, yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Mat Zan Mat Aris adalah juara Liga FAM tahun lepas, dan layak beraksi dalam Liga Perdana musim ini.

Pasukan itu kini menduduki carta teratas Liga Perdana dengan 42 mata, berbaki lima perlawanan, sementara Johor Darul Ta'zim II di tempat kedua dengan 37 mata dan PKNS FC 33 mata.

Dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia pula, Melaka United menghuni tangga ketiga dengan tiga mata, berbaki dua lagi perlawanan.

Selain itu, Mohd Yusoff berkata penggantungan beberapa pemain utama kerana mengutip dua kad kuning juga merencatkan perancangan jurulatih sehingga menjejaskan prestasi pasukan dalam dua perlawanan tersebut.

"Kita tidak mahu, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Pada masa ini hanya sedikit lagi untuk kita menjuarai Liga Perdana dan layak ke Liga Super tahun depan, jadi kita fokuskan itu dulu," katanya.

Justeru, Mohd Yusoff berkata pemain yang diberi peluang beraksi perlu membuktikan keupayaan mereka dan meyakinkan pihak pengurusan pasukan.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Melaka United pada masa ini masih di peringkat 'pramatang' kerana baru sahaja dibentuk dan banyak lagi perlu dipertingkatkan agar dapat bersaing dengan pasukan-pasukan hebat dalam Liga Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan