Peletakan Jawatan Dalam FAM Hak Masing-Masing - Hamidin

Diterbitkan: Sabtu, 6 Ogos 2016 7:19 PM

Datuk Hamidin Mohd Amin

Hamidin Mohd Amin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Tunggu sahaja keputusan Mesyuarat Exco pada 15 Ogos ini," kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Tanpa mahu mengiya atau menafikan spekulasi semua anggota Exco FAM akan meletak jawatan beramai-ramai untuk mengikut jejak presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Hamidin berkata, ia adalah hak individu masing-masing. 

"Sama ada mereka mahu ikut jejak langkah Presiden, saya tidak pasti kerana itu hak individu.

"Mungkin pada 15 Ogos ini mereka akan putuskan. Pada pendapat saya, kita ini negara demokrasi dan masing-masing ada hak," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Kelab Diraja Selangor (RSC) di Bukit Kiara di sini, Sabtu.

Tengku Abdullah sebelum ini, menyuarakan hasratnya mahu meletak jawatan dalam badan induk sukan bola sepak negara itu.

Menurut Hamidin, semua barisan Exco yang ada masih boleh memegang jawatan masing-masing sehingga tamat penggal mereka pada 2018.

Katanya, mengikut Perlembagaan FAM yang diiktiraf Pesuruhjaya Sukan, Konfederasi Bola Sepak Asia dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemilihan yang ingin dilakukan dalam FAM perlu dibuat empat tahun sekali.

Beliau menjelaskan menurut Artikel 29 perlembagaan persatuan, mesyuarat agung luar biasa (EGM) boleh diadakan sekiranya satu per lima anggota gabungan mengusulkannya atau Exco sendiri mahu pemilihan diadakan sama ada bagi jawatan presiden atau keseluruhannya.

"Jika pemilihan awal mahu diadakan, perlu dinyatakan secara spesifik tentang apa yang mahu dibincangkan dalam EGM tersebut sama ada ia hanya pemilihan jawatan presiden atau keseluruhannya, dan tidak boleh dibincangkan hal-hal lain," katanya.

Sementara itu, Hamidin berkata mesyuarat agung tahunan (AGM) FAM akan diadakan pada 15 September ini, untuk membentang dan meluluskan laporan kewangan dan laporan tahunan sepanjang 2015.

Mengenai formula yang dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sewaktu pertemuan dengan FAM pada Khamis lepas, Hamidin berkata ia akan turut dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti.

"Pertemuan bersama menteri tempoh hari hanya satu perjumpaan dan tiada apa-apa perkara yang diputuskan," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: FAM , Hamidin Mohd Amin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan