Perubahan Kepimpinan Dalam FAM?

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2016 9:53 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perubahan dalam kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah antara formula baharu yang dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, namun sejauh mana ia mampu menjadi kenyataan.

Ketika ini wujud spekulasi akan berlaku rombakan besar-besaran berikutan barisan Exco FAM dikatakan mahu mengikut jejak presiden persatuan itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tetap mahu melepaskan jawatan tersebut.

Bagi pengkritik sukan, Tan Sri Prof Khoo Kay Kim, sudah tiba masanya orang baharu yang lebih berkaliber dan layak menerajui FAM bagi membawa perubahan yang menyeluruh kepada kemajuan bola sepak negara.

"Mereka (barisan Exco FAM) sendiri tahu setakat ini prestasi FAM sangat lemah, jadi lebih baik orang lain diberi peluang membawa kemajuan bola sepak negara.

"Kemelut yang melanda FAM selama ini sudah tidak dapat diterima. Jika seseorang yang telah diberi peluang tapi masih tidak berjaya dan mengakui tugas itu terlampau sukar, berundurlah dan beri peluang pada yang lebih layak," katanya.

Pada Khamis, Khairy mengadakan pertemuan dengan barisan Exco FAM berhubung cadangan formula penyelesaian kemelut membabitkan badan induk bola sepak negara itu di pejabatnya.

Media pada Jumaat melaporkan pengumuman mengenai rombakan dalam FAM akan disuarakan dalam Mesyuarat Exco FAM pada 15 Ogos ini dengan kesemua barisan Exco bersedia melepaskan jawatan andai hasrat Tengku Abdullah diterima.

Tengku Abdullah sebelum ini memberitahu beliau tetap mahu melepaskan jawatan tertinggi FAM dan tidak mahu campur tangan dalam kemelut badan itu lagi.

Selain itu, barisan kepimpinan FAM turut dihentam pemilik kelab Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa memiliki pemacu pena mengandungi bukti penyelewengan dan salah laku pegawai FAM.

Nada sama turut dilontar bekas pemain negara Dali Omar yang menyatakan kepimpinan FAM sepatutnya diterajui mereka yang betul-betul mempunyai semangat dan kepakaran mengenai ilmu bola sepak.

"Perubahan itu sepatutnya berlaku 20 tahun lepas. Mereka yang ada sekarang nampaknya hendak popular tapi seorang pun tidak tahu dan belajar melalui video sahaja," katanya.

Susulan itu, beliau turut menyatakan kesediaan dan berharap Khairy  mengundang beberapa bekas pemain kebangsaan untuk berkongsi cadangan bagi penambahbaikan bola sepak negara.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata sekiranya benar akan berlaku pengunduran besar-besaran kepimpinan Exco FAM, maka dakwaan penyelewengan yang dikemukakan Tunku Ismail sebelum ini adalah berasas.

"Setakat ini, ia sekadar dakwaan sahaja, tidak ada bukti. FAM patutnya tidak layan perkara begitu, tapi sekiranya Exco FAM mengambil serius maknanya tuduhan Tunku Ismail ada betulnya," katanya.

Ditanya sama ada tindakan pengunduran beramai-ramai itu akan menjejaskan segala perancangan yang telah diatur FAM yang melibatkan persediaan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF pada November ini, Khalid menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.

"Hanya imej barisan Exco FAM yang terjejas tapi tidak akan merencatkan program yang telah diatur kerana perkara itu diuruskan pegawai yang telah dilantik," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: FAM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan