Tunku Ismail Bidas 'Pembenci' JDT - Bola Sepak | mStar

Tunku Ismail Bidas 'Pembenci' JDT

Diterbitkan: Isnin, 1 Ogos 2016 6:30 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan walaupun terdapat segelintir pihak 'meraikan' kekalahan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tangan Perak, pasukan itu telah berjaya memperolehi dua trofi pada tahun ini.

Jelas beliau, kejayaan sesebuah kelab bola sepak tidak diukur berdasarkan menang atau kalah dalam sesuatu perlawanan tetapi melalui kemajuan pasukan seperti memenangi piala, kekuatan kewangan kelab dan kemajuan serta pencapaian kelab secara keseluruhan.

"Ini adalah caranya kita menilai kejayaan. Walaupun anda begitu gembira kerana JDT tewas 3-0 dalam saingan Piala Malaysia, tidakkah anda sedar bahawa kami sudah memiliki 2 trofi dalam simpanan kami untuk tahun ini?

"Walaupun ramai gembira kerana JDT tewas 3-0, di manakah kedudukan anda dalam liga?," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, pada Isnin.

Menurut Tunku Ismail, walaupun ada pihak berharap agar JDT tewas dalam persaingan liga tahun ini,  pasukan ini sudah pun berada dalam pertandingan AFC tahun depan selepas memenangi Piala FA.

"Sekiranya anda menyatakan bahawa JDT memenangi Piala AFC secara 'menang nasib'. AFC sebaliknya iaitu mengiktiraf kejayaan JDT," katanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail memaklumkan bahawa beliau turut dijemput ke untuk menghadiri Sidang Kemuncak Dunia Bola Sepak di Sepanyol manakala jurulatih JDT, Mario Gomez juga dijemput ke China untuk menyertai Bengkel Kejurulatihan, khusus buat barisan jurulatih terkemuka di Asia.

"Pencapaian bagi kami adalah mencipta sejarah. Pencapaian bagi anda adalah menewaskan kami.

"Kami bermain dalam empat pertandingan dan hanya tewas dua kali. Jadi beritahu saya jika ini adalah kelab yang terbaik di negara ini atau tidak?," katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail turut membidas laman web bola sepak yang menulis laporan negatif mengenai JDT dengan menegaskan bahawa tindakan sedemikian tidak sesekali membuat pasukan itu berhenti daripada berkembang.

"Semasa anda sibuk menulis dan menghantar komen menghina di internet, kami sedang menikmati kehidupan.

"Kami diberkati dengan rezeki yang Allah S.W.T. kurniakan dan berada pada kedudukan untuk melihat dan merasai sesuatu yang anda tidak akan dapat lihat atau rasa," katanya.

Pada aksi Piala Malaysia Sabtu lalu, Perak berjaya menundukkan JDT 3-0 dalam saingan Kumpulan C yang berlangsung di Stadium Ipoh.







Tags / Kata Kunci: JDT , Tunku Ismail Sultan Ibrahim , TMJ , Perak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan