Terengganu Kecundang Di Tangan PDRM

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2016 11:48 PM

Pemain Terengganu Issey Nakajima (tengah) cuba melepasi kawalan tiga pemain PDRM dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam Rabu. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA NERUS: Episod duka terus melanda pasukan Terengganu apabila tewas 0-2 kepada PDRM dalam aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam Rabu.

Pada babak pertama permainan, skuad Penyu menerusi Joseph Kalang Tie dan pemain import, Issey Farran Nakajima cuba memecahkan kebuntuan mencari jaringan awal, namun cubaan mereka tersasar pada minit ke-10 dan 25.

Pasukan pelawat turut memberi ancaman kepada gawang tuan rumah pada minit ke-12, namun tendangan leret Konate Souleymane dari luar kotak penalti gagal menemui sasaran.

Peluang terbaik The Blues Squad untuk membolosi gawang Terengganu hadir pada minit ke-25, namun rembatan kencang ketua pasukan Muhd Safuwan Baharudin terkena tiang gol.

Kedua-dua pasukan sering berbalas serangan bagi memecah kebuntuan mendapatkan gol, namun ketumpulan jentera serangan mereka menafikan peluang yang terhidang sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pasukan Terengganu terus gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, sebaliknya PDRM lebih banyak menguasai permainan.

Hasilnya, PDRM memperoleh gol pertama pada minit ke-58 menerusi Muhd Safuwan Baharudin yang bijak menyempurnakan hantaran Mohd Fauzi Abd Majib.

Penyerang import pasukan pelawat, Guilherme De Paula terus menambah derita pasukan Terengganu apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-66 untuk kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PDRM , Terengganu , Liga Super

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan