The Seagulls Perlu Bangkit Baiki Kedudukan

Diterbitkan: Sabtu, 23 Julai 2016 12:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Skuad Kuantan FA perlu bangkit mempamerkan aksi lebih mantap selepas hanya mencatat keputusan seri 0-0 ketika bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan Liga Perdana di Stadium Darul Makmur di sini malam Jumaat.

Pengurus pasukan, Datuk Wan Solihi Wan Hassan berkata beliau bagaimanapun bersyukur kerana perlawanan tersebut masih menyumbang satu mata buat pasukan The Seagulls untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

"Kuantan FA bermain agak baik...kita menguasai permainan dan memperoleh beberapa peluang keemasan untuk melakukan jaringan, tetapi tidak berhasil.

"Penjaga gol ATM dilihat berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya kita dan barisan pertahanan mereka mampu mengekang kemaraan kita.

"Kita telah berusaha seawal babak perlawanan untuk mendapatkan gol tetapi malangnya perlawanan itu hanya berakhir dengan keputusan seri," katanya kepada pemberita di sini malam Jumaat.

Wan Solihi berkata peningkatan prestasi pasukan perlu dibuat dengan rapi apabila mereka bakal berhadapan Melaka United yang merupakan pendahulu liga pada Isnin ini.

"Masih ada ruang bagi para pemain untuk memperbaiki persembahan apabila menentang pasukan kuat seperti Melaka United.

"Apa pun, barisan pemain Kuantan FA perlu menunjukkan semangat juang yang tinggi kerana ia faktor utama untuk mencapai kejayaan," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: The Seagulls , Kuantan FA , Liga Perdana

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan