Cheng Hoe Sedia Guna Khidmat Augusto

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2016 9:25 AM

Thiago Augusto Fernandes

(Ubah saiz teks)

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sedia menurunkan penyerang import baharu pasukan itu, Thiago Augusto Fernandes dalam aksi Piala Malaysia menentang Sarawak jika urusan pendaftaran selesai sepenuhnya.

Penyerang Felda United yang dipinjamkan dengan pertukaran Ahmad Fakri Saarani sehingga akhir tahun ini mengesahkan kedudukan bersama Kedah pada Selasa.

Dengan kehadiran Augusto bermakna tiada lagi aksi Carlos Aduardo Kahe dalam skuad Helang Merah yang menjadi igauan 'ngeri' penyokong selepas hanya mampu menjaringkan empat gol sejak awal musim lalu.

Cheng Hoe memberitahu, Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) telah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran Augusto.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya hanya menunggu lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menurunkan pemain kelahiran Brazil itu.

"Seorang lagi pemain import baru iaitu, Shane Smeltz mungkin tidak akan diturunkan malam ini kerana dia baru tiba di Alor Setar dan hanya memulakan latihan ringan. Kita perlu beri ruang kepadanya untuk berehat dan memahami corak permainan Kedah dulu.

"Apa yang pasti penyerang yang berasal dari New Zealand mempunyai pengalaman terbaik dan pernah beraksi pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010.

"Saya yakin Smeltz mampu meningkatkan kecergasannya setelah mengikuti latihan bersama rakan sepasukan lain mulai petang esok dan Augusto pula perlukan beberapa perlawanan bagi memaksimakan kemampuannya," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, beliau yakin Augusto mampu memenuhi kehendak pasukan berdasarkan pengalamannya beraksi bersama Felda United lalu dan berjaya menjadi penjaring terbanyak mereka.

Jelasnya, selain itu pemain Kedah diingatkan supaya tidak memandang rendah kemampuan lawan kerana mereka juga telah melakukan perubahan untuk membentuk sebuah pasukan lebih baik.

Beliau memberitahu, pemain Sarawak pasti dituntut untuk melakukan kejutan dan ia bukan perkara mustahil kerana skuad berkenaan dipimpin bekas jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal.

"Untuk pasukan Kedah, saya akan membariskan kesebelasan utama terbaik pada perlawanan ini kerana  kesemua pemain berada dalam keadaan baik untuk diturunkan.

"Pemilihan telah dibuat selepas setiap pemain membuktikan kemapuan mereka dengan bersaing untuk menjadi watak penting dalam kesebelasan utama," ujarnya.

Cheng Hoe berkata, Sandro Da Silva terpaksa digugurkan untuk mmberi laluan kepada Smeltz sebagai penggantinya selepas pemain berkenaan mengalami kecederaan tulang belakang.

Tags / Kata Kunci: Kedah , Sarawak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan