Kedah Ikat Dua Penyerang Baharu Edward Dan Augusto

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2016 6:54 PM

Bekas pemain Sydney FC, Shane Edward Smeltz (kanan) dan bekas pemain Felda United, Thiago Augusto Fernandes mengikat kontrak bersama pasukan Kedah bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengikat kontrak bekas pemain Sydney FC dan Felda United bagi menguatkan jentera serangan pasukan Kedah bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Shane Edward Smeltz,34, yang juga pemain kebangsaan New Zealand, dan Thiago Augusto Fernandes, 26, telah mengikat kontrak bersama pasukan itu pada Isnin.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata pemilihan kedua-dua pemain itu bagi menggantikan dua pemain yang digugurkan KFA iaitu pemain import dari Brazil, Calos Eduardo dan Ahmad Fakri Saarani kerana gagal menunjukkan prestasi baik sebelum ini.

"Kedua-dua pemain berpengalaman ini diharap dapat membantu pasukan Kedah berada pada kedudukan terbaik dalam Liga Super sekali gus merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

"Shane Edward mempunyai pengalaman luas kerana pernah beraksi dengan pasukan kebangsaan New Zealand, dan pernah bermain dalam saingan elit Asia dan Piala Dunia 2010," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan dua pemain berkenaandi Stadium Darul Aman, di sini pada Selasa.

Ahmad Bashah berkata kontrak Sandro Da Silva, yang mengalami kecederaan serius sebelum ini, tidak ditamatkan malah KFA memberi peluang kepada pemain kelahiran Brazil itu untuk berehat dan menjalani rawatan sehingga pulih sepenuhnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata kedua-dua pemain tersebut akan diturunkan Rabu ini, ketika menentang Sarawak dalam saingan Piala Malaysia.

Katanya pemilihan mereka adalah tepat kerana pasukan Kedah kini berhadapan dengan masalah di bahagian serangan. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan