Malaysia Menang 2-1 Ke Atas New Caledonia

Diterbitkan: Khamis, 23 Jun 2016 12:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaysia berjaya menebus kekecewaan apabila menewaskan New Caledonia 2-1 untuk kemenangan pertama dalam aksi persahabatan antarabangsa Jelajah Oceania di Stadium Numa-Daly Magenta, Noumea, Rabu.

Selepas diaibkan 2-0 oleh Papua New Guinea, Jumaat lepas, pengendali Datuk Ong Kim Swee melakukan rombakan besar pada kesebelasan utama dengan menurunkan tonggak utama Muhammad Fazly Mazlan, Muhd Fadhli Shas dan S. Kunalan.

Bagaimanapun, New Caledonia, pasukan menduduki ranking ke-183 berbanding Malaysia 173, memberi kejutan awal apabila Jean-Philippe Saiko menyudahkan bola hantaran rakan di depan kotak penalti pada minit ke-20.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Harimau Malaysia kembali memperkemaskan corak permainan sebelum bangkit semula pada babak kedua dengan sentuhan penyudah Mohd Amirulha Zainal pada minit ke-48 dan gol kemenangan Baddorol Bakhtiar, hasil sepakan percuma pada minit ke-54.

Terdahulu, kedua-dua pasukan masing-masing terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung perlawanan setelah menerima kad kuning kedua.

Pemain tengah Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham diperintah keluar padang pada minit ke-82 kerana sengaja melambatkan permainan manakala enam minit kemudian pemain tuan rumah, Georges Bearune mengalami nasib sama kerana mengasari pemain lawan.

Malaysia dijadual menentang pasukan ranking ke-186 dunia, Fiji, pada aksi terakhir jelajah berkenaan di Stadium Prince Charles Park, Nadi, Ahad ini. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan