Syazwan Tekad Kembali

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2016 12:04 PM

(Ubah saiz teks)

PEMAIN sayap Kedah, Syazwan Zainon mahu kembali berada dalam barisan kesebelasan utama pasukannya ketika menentang Sarawak pada 13 Julai depan.

Untuk memastikan dapat beraksi dalam saingan Piala Malaysia itu, Syazwan kini sedang bekerja keras untuk mencapai tahap kecergasan terbaik dan pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami.

Malah dia juga yakin mampu mengembalikan prestasinya seperti sebelum ini atau lebih baik untuk membantu Kedah dalam saingan Piala Malaysia.

"Sekarang saya sudah berjaya merawat kecederaan dan matlamat utama kini ialah kembali berada dalam kesebelasan utama untuk membantu Kedah dalam Piala Malaysia.

"Walaupun terasa letih ketika menjalani latihan semasa berpuasa tapi semangat dan kemahuan yang ada telah membuatkan saya bekerja keras untuk menjadi pilihan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

"Bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama Kedah kerana ramai pemain muda yang berbakat sentiasa mencabar untuk mendapatkan possisi ini. Jadi saya juga perlu berusaha," katanya kepada mStar Online.

Syazwan yang menyertai skuad hijau kuning sejak 2013 berjaya membantu pasukan berkenaan menjuarai Liga Perdana dan bersaing dalam final Piala Malaysia musim 2015.

Bagaimanapun dia terpaksa direhatkan akibat kecederaan pangkal paha selepas menjaringkan gol ketika Kedah menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Syazwan memberitahu, saingan Liga Malaysia musim lebih mencabar berbanding musim lalu kerana selain terpaksa beraksi di Liga Super, setiap pasukan juga telah melakukan persiapan dengan baik.

"Tetapi kami telah buktikan keupayaan dengan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) selain layak ke separuh akhir Piala FA dengan keadaan pemain yang cedera dan menerima hukuman dilayangkan kad.

"Kejayaan kami mengatasi JDT sudah pasti berjaya menaikkan semangat serta keyakinan untuk berdepan cabaran daripada mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

"Saya berdoa agar dapat kembali membantu rakan-rakan bagi mematikan Kedah mencapai kejayaan pada musim ini," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Kedah , Hijau Kuning

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan