Barca Bayar Denda 5.5 Juta Euro Kes Tipu Perpindahan Neymar

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2016 4:07 PM

Neymar.

(Ubah saiz teks)

BARCELONA bersetuju membayar denda sebanyak 5.5 juta euro kepada pihak berkuasa Sepanyol untuk menyelesaikan kes penipuan cukai terhadap isu perpindahan pemain bintangnya, Neymar pada 2013.

Kelab gergasi Sepanyol tersebut didakwa menyembunyikan sebahagian daripada bayaran perpindahan Neymar sebaik sahaja pemain berusia 24 tahun itu berhijrah ke Sepanyol dari Santos, sebuah kelab yang berpangkalan di Brazil.

Penyelesaian kes itu dilaporkan oleh agensi berita Sepanyol, Efe pada minggu lalu dan Barcelona mengesahkan mengenainya dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Lembaga pengarah kelab memutuskan untuk meluluskan perjanjian yang disampaikan bahagian undang-undang kelab itu dengan merujuk kepada kes perpindahan Neymar," demikian menurut kenyataan itu.

Kes Neymar sedang didengar di Mahkamah Wilayah Barcelona.

Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu mengakui berlaku kesilapan dalam perancangan cukai pada 2011 dan 2013 semasa membawa masuk Neymar.

"Adalah lebih baik menerima penyelesaian ini daripada kes perpindahan Neymar tersebut terus diheret untuk jangka masa yang lebih lama," katanya.

Undian lembaga pengarah Barca meluluskan perjanjian untuk membebaskan Bartomeu dan bekas presiden kelab itu, Sandro Rosell atas salah laku berkaitan perpindahan tersebut.

Bartomeu merupakan Naib Presiden ketika dibawah Rosell apabila Neymar dibawa masuk menerusi perjanjian kompleks yang melibatkan pelbagai kontrak.

Neymar dan bapanya turut disiasat berhubung dakwaan penipuan cukai yang turut dinafikan mereka.

Barca berkata mereka membayar sebanyak 57 juta euro untuk mendapatkan Neymar dengan ibu bapa pemain itu menerima 40 juta euro manakala Santos memperoleh 17 juta euro.

Namun pasukan penyiasat mendapati yuran perpindahan itu mencecah 83 juta euro dan Barcelona didakwa menyembunyikan sebahagian daripada perjanjian tersebut.

Barca bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.


Tags / Kata Kunci: Barcelona , Neymar , yuran perpindahan , Santos

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan