Ronaldo Atlet Terkaya Di Dunia

Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2016 9:00 AM

Cristiano Ronaldo.

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan penyerang Barcelona, Lionel Messi menguasai senarai atlet menerima bayaran tertinggi di dunia oleh majalah Forbes.

Senarai itu dikeluarkan selepas persaraan bintang tinju Amerika Syarikat (AS), Floyd Mayweather dan pengumuman pembedahan belakang jaguh golf dunia, Tigers Woods.

Woods sebelum ini pernah menguasai kedudukan teratas selama 12 tahun tetapi sejak tiga tahun lalu senarai itu dikuasai oleh Mayweather yang mengumumkan persaraannya tanpa sebarang kekalahan, tahun lalu.

Penyerang Portugal berusia 31 tahun itu mengungguli tangga teratas dengan mengumpul AS$88 juta (RM354.3 juta) yang diperoleh menerusi gajinya, AS$56 juta (RM225.4 juta) dan AS$32 juta (RM128.8 juta) menerusi perjanjian penajaan dan sebagainya.

Ronaldo yang juga Pemain Terbaik Dunia FIFA tiga kali itu mengaut keuntungan menerusi penajaan baharu bersama Nike berjumlah AS$13 juta (RM52.3 juta) ditambah dengan beberapa penaja utama peribadi lain seperti Tag Heuer dan Herbalife serta jenama produk pakaian, seluar, seluar dalam dan hotelnya sendiri.

Messi yang ketika ini mengetuai Argentina bagi kempen Copa America Centenario berada di tangga kedua dengan mengumpul keseluruhan AS81.4 juta (RM328.6 juta) termasuk AS$28 juta (RM113 juta) daripada penajaan.

Bintang bola keranjang, LeBron James yang sedang mengetuai pasukan Cleveland Cavaliers menentang juara bertahan NBA, Golden State, di tempat ketiga selepas mengumpulkan AS$77.2 juta (RM311.6 juta).

Begitupun, pemain kelahiran AS itu memiliki perjanjian penajaan bernilai AS$54 juta (RM218 juta) termasuk kerjasama seumur hidup bersama Nike yang dikatakan memberi keuntungan sehingga AS$1 bilion (RM4 bilion) dan $23.2 juta AS (RM93.7 juta) gaji daripada kelabnya.

Pemain tenis Switzerland, Roger Federer yang juga pemenang 17 kali Grand Slam keempat dengan kekayaan dikumpul berjumlah AS$67.8 juta (RM273.8 juta) yang diperoleh daripada penajaan berjumlah AS$60 juta (RM242.3 juta).

Novak Djokovic.

Sementara itu, pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic berada di keenam selepas mengumpul AS$55.8 juta (RM225.3 juta) dengan $34 juta AS (RM137.3 juta) diperolehnya daripada penajaan.

Pemain tenis nombor satu wanita, Serena Williams yang juga naib juara Terbuka Perancis dan Terbuka Australia, tahun ini muncul penerima tertinggi wanita dengan AS$28.9 juta (RM116.7 juta).

Pelumba Formula British, Lewis Hamilton pula berada di kedudukan ke-11 dengan mengumpul AS$46 juta (RM185.7 juta) namun hanya AS$4 juta (RM16.1 juta) diperoleh daripada penajaan.

Kedudukan 100 teratas diisi oleh 65 atlet dari AS dan 22 negara lain membabitkan 10 jenis sukan.

Peningkatan hak perjanjian televisyen menjadi antara penyumbang kepada peningkatan pendapatan bintang-bintang sukan ini dengan atlet yang menduduki senarai 100 ke atas memiliki nilai pendapatan sekurang-kurangnya $20.8 juta AS (RM83.9 juta), penambahan $2 juta AS (RM8 juta) berbanding tahun lalu.

Tempoh pengiraan yang dijalankan dibuat selama 12 bulan yang berakhir, seminggu lalu.

10 senarai teratas:

1. Cristiano Ronaldo (bola sepak) - RM354.3 juta 

2. Lionel Messi (bola sepak) - RM328.6 juta 

3. LeBron James (bola keranjang) - RM311.6 juta 

4. Roger Federer (tenis)  - RM273.8 juta

5. Kevin Durant (bola keranjang) -  RM226.4 juta

6. Novak Djokovic (tenis) - RM224.8 juta

7. Cam Newton (bola sepak) - RM214 juta

8. Phil Mickelson (golf) - RM213 juta

9. Jordan Spieth (golf) - RM212 juta

10. Kobe Bryant (bola keranjang) - RM201 juta



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan