Vida Sokong Gesaan Popov

Diterbitkan: Isnin, 23 Mei 2016 2:52 PM

Vida sempat berselfie bersama Popov sebelum pertembungan antara Kelantan menentang Selangor minggu lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:  Pemain Kelantan yang gagal mempamerkan prestasi sebenar layak 'digugurkan' dari pasukan itu sebagai usaha mewujudkan skuad Kijang berwajah baharu yang lebih mantap dalam mengharungi Liga Malaysia.

Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida menyokong gesaan jurulatih pasukan itu, Velizar Popov yang mengalu-alukan pemain yang tidak lagi mahu beraksi bersama skuad Kijang itu supaya meninggalkan kelab dengan segera.

"Saya sokong gesaan Popov, perlu ada rombakan besar-besaran dari A to Z selepas melihat prestasi pasukan yang semakin parah.

"Sampai bila kita harus tunggu kejutan? Sudah lama saya berdiam diri dan beri peluang kepada pemain tetapi apa yang diharapkan tidak berlaku. Saya amat kecewa," katanya kepada mStar Online.

Usahawan kosmetik itu berkata beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Popov untuk menentukan kedudukan semua pemain Kelantan pada musim ini.

"Siapa yang rasa diri mereka tidak bermain pada tahap seperti diharapkan seelok-eloknya berundurlah secara terhormat. Kita tak nak ada beban di dalam pasukan.

"Tiada gunanya jika bayar gaji mahal-mahal tapi main ala kadar sahaja. Lakukanlah demi maruah pasukan kerana anda gagal memenuhi harapan peminat yang begitu tinggi," katanya.

Menurut Vida, beliau amat kecewa dengan sikap segelintir pemain yang dilihat tidak cuba untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.

"Saya lihat mereka cuma berlatih apabila ada perlawanan. Tiada inisiatif untuk lakukan latihan sendirian (di luar waktu latihan bersama pasukan) demi memantapkan skil. Mereka mudah selesa dengan apa yang ada sekarang.

"Saya bukan nak bandingkan pemain Kelantan dengan mana-mana pemain di luar negara. Tapi untuk jadi seorang pemain yang hebat, perlu ada latihan secara berterusan sama ada bersama pasukan atau dengan inisiatif sendiri," katanya.

Lebih membimbangkan, Vida berkata prestasi merudum skuad Kijang itu turut menjejaskan penjualan produk keluaran syarikatnya.

"Produk saya turut terkena tempias susulan prestasi hambar Kelantan. Perlu diingat Kelantan bawa nama produk saya jadi prestasi sedia ada seolah-olah memberi gambaran kepada keberkesanan produk saya," katanya.

Justeru Vida turut meminta Popov agar melakukan proses penilaian teliti ke atas setiap pemain dalam usaha menangani krisis ketumpulan skuad sedia ada bagi membolehkan beberapa pemain baharu diintai untuk mengisi kekosongan tersebut.

"Nak tak nak Kelantan perlu beli pemain baharu untuk memantapkan pasukan. Jadi Popov perlu kenal pasti pemain yang perlu kekal atau digugurkan bagi membolehkan skuad Kijang berwajah baharu dibentuk," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor enggan mengulas mengenai amaran keras Popov yang memberi gambaran seolah-olah akan berlaku rombakan di dalam pasukan menjelang jendela perpindahan pemain bulan depan.

"Saya tak dapat lagi isyarat untuk keluarkan sebarang kenyataan. Minta maaf saya tak boleh nak komen. Lebih baik kita tunggu pengumuman Presiden Kafa sendiri (Tan Sri Annuar Musa)," katanya.

Kelantan kini menduduki tangga kelapan Liga Super dengan mengutip 13 mata daripada 12 perlawanan.



Tags / Kata Kunci: Velizar Popov , Kelantan , Datuk Vida

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan