FAM Nafi Dakwaan Annuar, Kafa Boleh Ditolak Mata

Diterbitkan: Rabu, 18 Mei 2016 4:53 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa bahawa badan induk bola sepak negara itu tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan mengenai isu tunggakan gaji membabitkan Kafa.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata FAM sentiasa membantu mana-mana pasukan termasuk Kelantan, yang bergelut dengan masalah kewangan, setakat yang mampu.

"Saya rasa beliau (Annuar) tidak betul...saya secara peribadi telah berbincang dengan (Setiausaha Agung Kafa) Datuk Ismail Md Noor dan (Naib Presiden Kafa) Datuk Rosmadi Ismail beberapa kali, daripada mula untuk selesaikan isu ini.

"Malah, saya sendiri yang telefon dan pernah bertemu mereka satu atau dua kali di FAM...tetapi saya sentiasa menghubungi mereka dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media bulanan FAM di Wisma FAM, di sini, Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Annuar pada Khamis lepas, yang berkata FAM dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) perlu duduk berbincang mengenai isu tersebut selepas FMLLP mencadangkan tindakan tegas terhadap Kafa, termasuk menolak mata dan disingkirkan daripada Liga Super sekiranya masih gagal melunaskan tunggakan gaji.

Hamidin menjelaskan Jawatankuasa Tatatertib FAM boleh mengambil beberapa tindakan seperti memotong mata liga, menahan pendaftaran pemain baharu semasa jendela perpindahan, mengenakan hukuman kewangan, diturunkan ke divisyen bawah, dan akhirnya tidak disenaraikan dalam saingan liga musim akan datang, jika pasukan itu masih gagal menjelaskan hutang itu.

Isu gaji lima bekas pemain tempatan pasukan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dalam masa terdekat, manakala bagi kes bekas pemain import dari Brazil, Gilmar Jose Dos Santos Filho yang telahpun dibincangkan jawatankuasa itu, akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib, katanya.

"Kafa masih mempunyai hutang US$89,000 (RM357,820) dan RM3,000 (penalti) kepada Gilmar yang kini bermain untuk Sarawak selain hutang sebanyak RM165,000 kepada bekas jurulatih Steve Darby.

"KAFA membuat rayuan untuk kes Gilmar sehingga 30 April selepas gagal bayar pada 15 April, namun sehingga kini masih belum menyelesaikan bayaran. Dalam kes pemain tempatan, Kafa bersetuju membayar secara bulanan, hanya bayar untuk Mac dan masih belum bayar untuk April," katanya.

Lima pemain berkenaan ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama Kafa untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata nasib enam bekas pemain yang masih digantung daripada terlibat dalam mana-mana aktiviti bola sepak akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Integriti, selepas merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

FAM sebelum ini membebaskan 78 daripada 84 bekas pemain kerana terbabit dalam kes rasuah bola sepak negara, setelah mereka membuat rayuan untuk ditamatkan tempoh penggantungan, kecuali enam pemain terbabit.

Mereka ialah Matlan Marjan, Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerard Mojiliu, G. Raveychandran dan Charles Tindi dari Sabah, yang didapati bersalah kerana terlibat mengatur perlawanan, sekali gus tidak dibenar melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti bola sepak di peringkat negeri dan FAM.

Tags / Kata Kunci: Kafa , FAM , Fifa , AFC , Kelantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan