Liridon Krasniqi Mahu Akhiri 'Kemarau' Kedah

Diterbitkan: Selasa, 17 Mei 2016 12:36 PM

Liridon Krasniqi. gambar - Bernama

(Ubah saiz teks)

PEMAIN import Kedah, Liridon Krasniqi sedia mengakhiri kemarau kemenangan skuad Helang Merah sejak lima perlawanan lalu ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu.

Pemain dari Kosovo turut berkongsi kerinduan untuk melihat rakan sepasukan dan penyokong meraikan kemenangan khususnya di Stadium Darul Aman.

Berikutan itu, perlawanan pusingan ke-11 Liga Super di Alor Setar pada malam Rabu bakal menjadi medan perjuangan Krasniqi untuk mendapatkan kemenangan untuk Kedah.

"Saya rindukan kemenangan selepas kami gagal dalam lima perlawanan Liga Super sebelum ini. Oleh itu sudah tiba masanya untuk kami mengembalikan kejayaan di Darul Aman.

"Kejayaan boleh dikecapi sekiranya seluruh pasukan berusaha untuk memastikan kemenangan menjadi milik kita bersama penyokong," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, tempoh rehat selama dua minggu selepas seri menentang Pahang memberi peluang kepada rakan-rakan sepasukannya untuk merawat kecederaan dan meningkatkan kecergasan.

"Selepas tempoh dua minggu ini saya sudah tidak sabar untuk kembali di atas padang dan mencipta kejayaan.

"Kemenangan ini penting untuk Kedah berada di kedudukan lebih baik dalam carta liga walaupun saingan semakin sengit.

"In sha Allah, saya dan rakan-rakan akan berusaha sebaik mungkin supaya penyokong tidak meragui keupayaan kami untuk terus bersaing dalam Liga Malaysia selepas ini," jelasnya.

Krasniqi memberitahu, Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe telah menyediakan 'ramuan' terbaik bagi memastikan mereka mampu beraksi seperti biasa.

"Apa yang perlu kami lakukan ialah mencari gol tidak kira siapakah yang dapat menghasilkan jaringan itu kerana yang penting kami dapat mencipta kemenangan di akhir permainan.

"Perlu disedari juga bahawa PDRM bukanlah calang-calang pasukan yang mudah dijinakkan kerana kemampuan mereka sudah terbukti sepanjang Liga Super musim ini.

"Mereka juga mempunyai pemain berpengalaman serta anak muda yang mampu mencipta kejayaan jika kami mengambil mudah asakkan mereka nanti," katanya.

Tags / Kata Kunci: Kedah , Helang Merah , PDRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan