Piala FA: JDT Raih Kelebihan Awal Berdepan PKNS FC

Diterbitkan: Selasa, 3 Mei 2016 8:46 PM

Kevin (tengah) pada sidang media Perlawanan Akhir Superbest Power Piala FA di FAM, Selasa. Turut hadir Mohd Fahmy Yahya (kiri) serta Setiausaha PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin (kanan). Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Juara bertahan Liga Super, Johor DarulTa'zim (JDT) beroleh kelebihan awal menjelang final Piala FA menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, 14 Mei ini, selepas diperuntukan 50,000 tiket.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingan menjelaskan berdasarkan cadangan awal, sepatutnya setiap pasukan diberi peruntukan 30,000 tiket, namun PKNS FC hanya meminta 10,000 tiket.

"Ini bermakna JDT meraih 50,000 keping tiket manakala baki 10,000 keping tiket lagi akan dijual secara dalam talian bermula 9 Mei ini di laman sesawang ticket hotline;www.tickethotline.com.my," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Selasa.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.  

Kevin berkata hanya tiket dewasa yang berharga RM50 dikeluarkan untuk aksi final kali ini dan tiada tiket kanak-kanak bagi mengelakkan penyalahgunaan tiket kanak-kanak yang didakwa terjadi dalam beberapa aksi final, sebelum ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Mohd Fahmy Yahya menjelaskan 50,000 tiket berkenaan hanya akan dijual di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 9 Mei ini.

"Kita berterima kasih kepada PKNS FC yang bermurah hati memberikan kita tambahan 20,000 tiket.

"Walaupun kita meraih lebih banyak tiket, ini tidak bermakna ia kelebihan kepada kita. Dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku,"katanya.

Dalam pada itu, wakil PKNS FC Md Adi Harmizi Ariffin memaklumkan pihaknya hanya meminta 10,000 tiket setelah mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pengurusan pasukan itu sendiri. 

Beliau turut menjelaskan tiket berkenaan akan mula dijual kepada penyokong di Stadium Shah Alam pada 9 Mei ini.

"Walaupun kita hanya meminta 10,000 tiket sahaja, kita yakin ada penyokong kita yang melakukan pembelian tiket menerusi dalam talian," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM Datuk Osman Salleh menegaskan dianggarkan 1,500 anggota keselamatan termasuk polis, Rela dan anggota trafik selain 150 anggota keselamatan syarikat pengurusan acara, akan bertugas pada aksi final nanti.

"Kita juga menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan untuk tidak membawabahan larangan ke dalam stadium dan pemeriksaan ketat akan dilakukan dipintu masuk pada hari perlawanan nanti," kata Osman.

JDT mara ke final Piala FA setelah mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Kedah manakala PKNS FC menang dengan agregat 4-3 ke atas Perak dalam satu lagi aksi separuh akhir, 30 April lepas. -Benrama

Tags / Kata Kunci: JDT , PKNS , Final Piala FA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan