FMLLP Cadang FAM Ambil Tindakan Tegas Ke Atas Kafa

Diterbitkan: Selasa, 3 Mei 2016 9:26 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berdepan penyingkiran daripada Liga Malaysia seandainya gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada lima bekas pemainnya.

Itu adalah tindakan terakhir yang dicadangkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika KAFA terus berdegil menyelesaikan isu tunggakan gaji itu.

Sebagai permulaan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata pihaknya mencadangkan kepada badan induk itu untuk melakukan pemotongan mata kepada Kafa sekiranya mereka gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak boleh mengenakan tindakan ke atas Kafa memandangkan beberapa perkara masih tertakluk di bawah bidang kuasa FAM iaitu gaji pemain, kontrak dan tindakan tatatertib.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.

"Kita harus bekerjasama dengan FAM untuk memberikan maklum balas atau cadangan berhubung tindakan susulan ke atas KAFA.

"Sekiranya mereka (Kafa) masih gagal menjelaskan hutang berkenaan, kita akan cadangkan kepada FAM agar pasukan terlibat diturunkan beraksi ke Liga Perdana atau lebih teruk lagi disingkirkan daripada Liga Malaysia," katanya.

Kevin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2016 di Wisma FAM, Kelana Jaya,di sini, Selasa.

"Sekiranya tidak ada tindakan tegas diambil ke atas pasukan yang terlibat, tiada perubahan ketara yang kita boleh saksikan dalam liga kita...Kami (FMLLP) berada di sini untuk membuat pembaharuan (dalam bola sepak Malaysia) tapi pada masa sama, kami turut memerlukan kerjasama daripada pihak lain," tegas Kevin.

Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail dalam kenyataan media mendakwa lima bekas pemain Kelantan masih belum menerima baki tunggakan gaji mereka yang sepatutnya dijelaskan Kafa pada 15 April lepas.

Beliau turut dipetik sebagai berkata pihaknya telah menghantar surat aduan berhubung perkara berkenaan kepada FAM dan berharap badan induk berkenaan dapat mengambil tindakan susulan terhadap Kafa.

Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama Kafa untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Dalam perkembangan berasingan, Kevin menasihatkan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia untuk tidak mengharapkan geran semata-mata daripada FMLLP untuk menguruskan skuad mereka.

Jelasnya, pasukan terlibat juga harus mempunyai inisiatif sendiri untuk menjana pendapatan pasukan termasuk mengkomersialkan produk pasukan.

Mengambil contoh pasukan dalam saingan Liga Jepun, Kevin berkata setiap pasukan dalam liga berkenaan hanya diberikan sebanyak empat peratus daripada geran yang sepatutnya diperoleh untuk perbelanjaan skuad berkenaan.

"Sekarang ini, ada pasukan mendakwa pendapatan utama sepatutnya datang daripada Liga (Malaysia) tapi ia tidak benar.

"Beberapa pasukan di negara seperti Jepun dan Korea Selatan tidak mengharapkan geran semata-mata untuk menguruskan pasukan kerana sedar pendapatan daripada liga tidak mencukupi,"tegas Kevin. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Kafa , FAM , FMLLP

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan