Struktur Baharu Bola Sepak Babitkan Semua Pihak - Khairy

Diterbitkan: Jumaat, 29 April 2016 8:18 PM

Khairy Jamaluddin Abu Bakar menunjukkan isyarat bagus selepas majlis memperkenalkan pelumba Arden International GP2, Nabil Jeffri (tiga kiri) dan pelumba Janzer Motorsport GP3, Akash Neil Nandy (kanan) pada Jumaat.Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu struktur baharu bola sepak akan diwujudkan dengan membabitkan semua pihak yang berminat dengan sukan itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, beliau percaya skop kerjasama antara semua pihak itu boleh diusahakan demi kebaikan bola sepak negara.

"Tugas saya adalah untuk lihat bagaimana kita dapat membawa semua pihak itu terlibat sama dalam struktur baharu yang akan kita hasilkan nanti," katanya selepas majlis memperkenalkan pelumba GP2 dan GP3 di sini, Jumaat.

Pelumba berkenaan ialah Nabil Jeffri dan Akash Neil Nandy, masing-masing akan berlumba dalam Siri GP2 dan GP3 bersempena penganjuran perlumbaan Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.

Menurut Khairy, idea itu dicetuskan dalam pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Rabu lepas.

"Saya percaya ada skop kerjasama yang boleh diusahakan. Ada beberapa perkara yang perlu tindakan susulan yang akan diambil oleh saya dan Tunku Ismail," katanya.

Menurut Khairy, pertemuan lebih dua jam dengan Tunku Ismail itu cukup positif dengan banyak idea dibincangkan. Mengulas lanjut mengenai perjumpaan tersebut, Khairy berkata struktur baharu yang bakal diwujudkan itu akan turut melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). 

Sebagai rekod, sebelum ini Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT,The Southern Tigers, menjelaskan perjumpaan itu bagi membincangkan hala tuju, berkongsi pendapat selain mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki kemerosotan bola sepak negara selain program yang melibatkan belia.

Menurut Tunku Ismail, perjumpaan itu turut membolehkan Khairy mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan bola sepak terutamanya projek JDT serta program belia yang diharapkannya dapat dijalankan di negeri berkenaan.  

Media sebelum ini melaporkan Tunku Ismail mencabar Khairy, wakil FAM, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) B. Satianathan dan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim untuk mengadakan debat terbuka. 

Ia susulan kemerosotan prestasi skuad kebangsaan yang jatuh merudum ketangga 174 dunia dalam ranking FIFA, kedudukan terburuk sejak ranking berkenaan diperkenalkan pada Disember 1992. 

Khairy kemudiannya dilaporkan bersetuju mengadakan debat berkenaanwalaupun Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin meminta ia dijalankan menerusi perbincangan tertutup. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Khairy Jamaluddin , FAM , Bola Sepak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan