Vida Beauty Pertimbang Tarik Balik Tajaan Terhadap Kelantan

Diterbitkan: Ahad, 24 April 2016 7:19 PM

Dr Vida.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Syarikat Vida Beauty akan menarik balik penajaan sekiranya prestasi skuad Kelantan masih terumbang-ambing. 

Pengasasnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata khabar angin mengatakan syarikat itu akan menghentikan tajaan tidak mustahil berlaku jika skuad itu masih tidak menunjukkan peningkatan dalam saingan Liga Super ketika ini. 

"Khabar angin itu tidak mustahil akan berlaku kerana saya seorang ahli perniagaan. Jika pasukan tidak 'perform' dan menyebabkan jualan saya jatuh macam mana saya nak bayar tajaan. 

"Pasukan perlu kembali ke landasan sebenar bagi memberi keyakinan kepada semua pihak (yang menyokong Kelantan)," katanya kepada pemberita di sini, Ahad ketika ditanya tentang khabar angin tersebut. 

Pada 4 Mac lalu, Kelantan terkeluar daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Kedah menerusi penentuan sepakan penalti, yang berakhir dengan Kedah 5 Kelantan 4. 

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Dr Vida sebelum ini dilaporkan sedia menaja dan membelanjakan RM20 juta bagi memastikan skuad Kelantan berada pada prestasi terbaik dalam tempoh dua musim, bermula musim ini. 

Dalam pada itu, beliau turut menggesa penyokong Kelantan supaya lebih profesional ketika memberikan sokongan kepada pasukan. 

"Anda (penyokong) sekiranya sayangkan kepada pasukan, janganlah hanya sokong pasukan semasa berada di puncak, tapi sokonglah sepanjang masa.  

"Jadilah seperti penyokong Eropah...walaupun pasukan mereka kalah atau menang mereka tetap menyokong pasukan mereka. 

"Anda tidak perlu menyalahkan pasukan atau memboikot mana-mana individu," katanya. 

Kelantan melonjak ke tangga kelima carta Liga Super dengan kemenangan 3-0 ke atas Terengganu dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Ahad malam.

Tiga gol pasukan pasukan tuan rumah itu dijaringkan Wan Zack Haikal Wan Md Noor pada minit ke-12, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (62') dan Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (88'). - Bernama

Tags / Kata Kunci: Vida Beauty , Dr Hasmiza Othman , Dr Vida

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan