Bang Seung Hwan Sedia 'Layan' Penyerang JDT

Diterbitkan: Jumaat, 15 April 2016 8:38 AM

Bang Seung Hwan.

(Ubah saiz teks)

TONGGAK pertahanan Kedah, Bang Seung Hwan, tidak sabar untuk berdepan kehebatan penyerang Johor DT (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulaman pada Sabtu bagi membutikan kemampuan sebenarnya.

Menurut pemain import dari Korea Selatan itu sebelum ini dia tidak pernah berdepan cabaran penyerang JDT kerana Kedah beraksi di Liga Super musim lalu.

“Saya yakin mampu menangani asakan JDT pada perlawanan itu kerana saya juga memiliki pengalaman beraksi di Liga Korea dan peringkat tertinggi perlawanan AFC sehingga ke perlawanan separuh akhir.

“Kini sudah tiba masa untuk membuktikan kemampuan sebagai pemain pertahanan tengah dan kehadiran semula pertahanan kanan Muhd Arif Farhan sudah pasti akan memantapkan kembali bahagian benteng kami.

“Ketika mengharungi Liga Super dan juga Piala FA sebelum ini kami terpaksa beraksi tanpa Muhd Arif Farhan yang cedera dan begitu juga Azmeer Yusoff, tetapi kehadiran semula Baddrol Bakhtiar yang pasti akan mengembalikan keyakinan kami untuk berdepan juara Piala AFC musim lalu,” kata Seung Hwan.

Tambahnya, tumpuan mereka adalah mengatasi cabaran JDT pada perlawanan itu bagi mencari kemenangan selesa sebagai bekalan ketika bertemu lawan yang sama pada 30 April di Stadium Larkin, Johor Baru.

“Bukan saya mahu mendabik dada tetapi barisan pemain muda yang digandingkan dengan empat pemain import Kedah mampu menggegar lawan kami yang rata-rata dibarisi oleh pemain pasukan Harimau Malaysia dan juga bekas pemain kebangsaan.

“Kami tidak boleh mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencari kemenangan mengatasi JDT walaupun di atas kertas ia kelihatan sukar dilakukan tetapi ini adalah permainan bola sepak dann apa sahaja boleh berlaku.

“Walaupun kami dibarisi oleh ramai pemuda, kemampuan mereka untuk menandingi pengalaman barisan pemain JDT  tidak boleh dinafikan dan saya yakin kami mampu meningkatkan lagi prestasi berbanding ketika terikat bertemu Pulau Pinang 2-2 di Alor Setar Sabtu lalu," kata Seung Hwan.

Tags / Kata Kunci: Bang Seung Hwan , Kedah , JDT , Piala FA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan