Atletico Lakar Kejutan, Singkir Barcelona Di Suku Akhir

Diterbitkan: Khamis, 14 April 2016 9:00 AM

Reaksi Messi selepas Barcelona gagal melayakkan diri ke aksi separuh akhir.

(Ubah saiz teks)

ATLETICO melakar kejutan apabila menyingkirkan penyandang juara Barcelona di suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis.

Antoine Griezmann muncul hero Atletico apabila meledak dua gol pada pertembungan penuh dramatik itu.

Kemenangan di Stadium Vicente Calderon itu sekali gus mengesahkan kemaraan Atletico ke aksi separuh akhir selepas menang dengan agregat 3-2.

Gol pertama pasukan tuan rumah dijaringkan Griezmann seawal minit ke-36.

Griezmann melengkapkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti ketika perlawanan berbaki dua minit selepas Andres Iniesta memegang bola di kawasan penalti.

Meskipun Barcelona menurunkan gandingan penyerang berbisa Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar, gerakan mereka jelas berjaya disekat Atletico.

Semangat Atletico untuk membenam Barcelona disuntik kira-kira 50,000 penyokong yang hadir menyaksikan pertembungan itu.

Barcelona ternyata tidak berpuas hati dengan pengadil Nicola Rizzoli tidak menghadiahkan sepakan penalti apabila pemain Atletico, Gabi kelihatan turut memegang bola di petak penalti.

Sebaliknya, Rizzoli memberikan sepakan percuma ketika masa kecederaan kepada pasukan lawan itu.

Sementara itu, Pengurus Barcelona Luis Enrique mengakui kegagalan pasukan tersebut merupakan kesalahannya.

"Ia 100 peratus kesilapan saya. Memang jelas kami gagal mempamerkan aksi terbaik tetapi kami perlu bangkit. Masih ada beberapa perlawanan menarik yang perlu kami harungi," kata Enrique.

Ia merupakan kekalahan ketiga buat Barcelona dalam empat perlawanan selepas mengharungi 39 perlawanan tanpa kalah sejak enam bulan lalu dalam usaha menjadi pasukan pertama mengekalkan trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam era bola sepak moden.

Kemenangan tersebut turut menyaksikan Atletico akan menyertai musuh tetangga, Real Madrid, Manchester City dan Bayern Munich bagi undian separuh akhir yang dijadualkan pada Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan