TMJ Ajak Khairy, FAM Debat Isu Kemerosotan Bola Sepak Negara

Diterbitkan: Rabu, 13 April 2016 1:22 PM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar supaya satu perbahasan diadakan bagi mengupas dengan lebih mendalam masalah kemerosotan bola sepak negara dan pihak yang perlu bertanggungjawab.

Katanya, beliau sendiri akan turut serta dalam debat itu bersama beberapa individu penting arena bola sepak negara, di mana beliau menyarankan ia disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Astro.

"Saya menggesa pihak Astro, untuk mengadakan sesi siaran langsung di televisyen bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, wakil daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) B.Sathianathan dan saya sendiri untuk berbahas tentang siapa yang bertanggungjawab bagi prestasi buruk pasukan kebangsaan dan bola sepak Malaysia serta apa tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, awal pagi Rabu.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata cabaran ini dibuat demi penyokong bola sepak negara, justeru penyokong perlu dibenarkan untuk menyuarakan pendapat dan bertanya sebarang soalan yang mereka mahu dalam siaran tersebut.

"Ayuh lakukannya untuk penyokong bola sepak kita.

"Suara mereka perlu menjadi keutamaan kerana kita berkhidmat kepada mereka dan mereka mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran tentang apa masalah sebenar yang dihadapi oleh bola sepak Malaysia," katanya.

Menurut Tunku Ismail, FAM dan sekutu lain dilihat tidak berminat untuk memperbaiki masalah ini dengan mengadakan mesyuarat apabila 'masalah sebenar sudah diketahui'.

"Itulah sebabnya dalam kenyataan saya ada menyebut tidak ada sesiapa yang benar-benar mengambil berat tentang bola sepak Malaysia kecuali saya.

"Sama ada anda suka atau tidak, saya akan terus berjuang menentang mana-mana rejim yang korup. Anda sepatutnya berdiri bersama-sama dan menuntut perubahan," katanya.

Dalam pada itu Tunku Ismail sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk menjadi Presiden FAM seperti yang didakwa sebelum ini sambil berkata beliau adalah seorang yang telus dan jujur.

Katanya cabaran ini dibuat kerana beliau 'sudah penat dan bosan dengan pembohongan dan perkara-perkara yang cuba diselindungkan'.

"Saya bukan ahli politik dan saya tidak memerlukan sebarang undi.

"Saya tidak bercadang untuk menjadi Presiden FAM dan seperti yang saya katakan sebelum ini, bola sepak bukan sumber pendapatan saya. Jadi mengapa saya hendak lakukannya? Saya lakukan ini kerana saya sudah penat dan bosan dengan pembohongan dan perkara-perkara yang cuba diselindungkan.

"Sebagai putera diraja rakyat, suara rakyat perlu didengari dan suara mereka adalah keutamaan saya," katanya.

Katanya, sebagai seorang anggota tentera dan dilatih untuk menggalas tanggungjawab, adalah wajar untuk beliau membuat perbandingan antara pasukan tentera dan pasukan bola sepak kebangsaan dalam isu ini.

"Jika pemain bola sepak kita kurang kualiti, siapa yang bersalah? Ia adalah sistem dalam persatuan bola sepak dan latihan daripada jurulatih kita. Ianya mudah.

"Jadi hujah saya ialah, kita tidak perlu mengeluarkan kenyataan menyalahkan pemain. Sebaliknya, kita sebagai orang-orang besar dalam kelab, bola sepak, persatuan dan jurulatih perlu bertanggungjawab dan meletakkannya sebagai kesalahan kita.

"Sebab itu saya katakan cara yang terbaik adalah meletakkan saya di televisyen secara langsung supaya seluruh negara boleh tahu apa masalahnya yang sebenar.

"Cukuplah dengan segala perkara-perkara yang cuba diselindungkan. Jadilah telus," katanya.


iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan