Sheikh Jamal Dhanmondi Tekad Benam Selangor

Diterbitkan: Isnin, 11 April 2016 5:37 PM

Shafiqul Islam Mank

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun mengakui berdepan halangan besar untuk memenangi perlawanan di gelanggang lawan, jurulatih kelab Bangladesh Sheikh Jamal Dhanmondi (SJD) Shafiqul Islam Mank masih belum mahu menyerah kalah kepada Selangor pada aksi timbal balik Piala AFC 2016, malam Selasa.

"Kami belum menyerah kalah kerana masih ada beberapa perlawanan yang perlu diharungi. Kami harus mempamerkan persembahan terbaik dan buru mata kemenangan," katanya pada sidang media Piala AFC antara Selangor dan kelab Bangladesh itu di sini Isnin.

Pada masa sama Shafiqul mengakui pasukan kendaliannya itu serba kekurangan kerana hanya diperkuat 14 pemain untuk pertembungan timbal balik itu.

"Kami ada masalah kerana hanya 14 pemain diterbangkan ke sini. Ia sukar tapi kami berusaha untuk mencatatkan keputusan baik pada pertembungan itu," katanya.

Jelas Shafiqul, kelab yang berpangkalan di Dhaka itu turut dihimpit masalah kecederaan pemain dan beberapa pemainnya berhijrah ke kelab lain memandangkan liga bola sepak di negara itu memasuki musim baharu.

"Daripada 14 pemain itu, pasukan ini turut diperkuat tiga pemain import. Sekarang kami hanya ada kesebelasan utama dan tiga pemain di bangku simpanan.

"Ada beberapa pemain yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan dan pintu perpindahan pemain baharu sahaja berakhir menyebabkan ada pemain yang bertukar ke kelab lain," katanya.

Justeru, beliau menggesa rakyat Bangladesh yang berada di Malaysia supaya hadir ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada malam Selasa bagi memberi suntikan semangat kepada pemain SJD.

"Pasukan tuan rumah amat kuat dan punyai kelebihan kerana menang pada aksi awal. Namun kita harapkan penyokong dapat hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan bagaimanapun enggan memandangkan ringan kelemahan pasukan dari Bangladesh tersebut dan yakin mereka akan memberi tentangan sengit.

"Saya tidak mahu mempertikaikan pasukan itu yang hanya diperkuat 14 pemain kerana itu lebih kepada taktikal mereka. Apapun kita perlu mempamerkan persembahan terbaik untuk memburu tiga mata di laman sendiri," katanya.

Beliau berkata kehadiran penyokong The Red Giants sedikit sebanyak akan menaikkan semangat pasukan dalam usaha memburu kemenangan selepas tewas kepada Felda United dalam aksi Liga Super, Jumaat lalu.

"Bagi saya sokongan penyokong amat penting dalam menaikkan semangat pemain. Jadi saya amat berharap penyokong Selangor hadir untuk memeriahkan perlawanan malam esok (Selasa)," katanya.

Dalam aksi di Bangladesh pada 15 Mac lalu, Selangor menundukkan SJD dengan 4-3.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan