Barcelona Kalah Lagi

Diterbitkan: Ahad, 10 April 2016 7:47 AM

Reaksi Lionel Messi selepas gagal membantu pasukannya menang dalam perlawanan menentang Real Sociedad, awal pagi Ahad. -fotoREUTERS

(Ubah saiz teks)

PERMAINAN FC Barcelona semakin tumpul sejak kebelakangan ini. Menjadi tetamu kepada Real Sociedad, perlawanan pada awal pagi Ahad sekali lagi berakhir dengan keputusan mengecewakan untuk mereka.

Skuad bimbingan Luis Enrique itu terpaksa tunduk 0-1 kepada tuan rumah dalam saingan La Liga minggu ini dengan baki enam perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Barcelona mula berdepan tugas berat untuk mempertahankan gelaran juara La Liga musim ini.

Walaupun masih berada di puncak dengan 76 mata, namun, kekalahan kali ini membuatkan jarak kedudukan mereka dengan Atletico Madrid yang kini berada di tempat kedua semakin dekat.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Anoeta, Barcelona sebenarnya tampil dominan dengan penguasaan 74 peratus bola.

Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila tuan rumah membuka keunggulan seawal minit ke-5 perlawanan menerusi Mikel Oiarzabal yang memanfaatkan umpan silang Xabi Prieto sebelum membolosi gawang Claudio Bravo.

Barcelona meningkatkan serangan setelah ketinggalan satu gol tetapi pertahanan Sociedad sukar ditembusi.

Baik Lionel Messi, Neymar atau Munir El Hadadi, ketiga-tiga mereka tidak mampu menyelit untuk membolosi gawang Geronimo Rulli. Situasi ini membuatkan pemain Barcelona tertekan.

Di babak kedua, Luis Enrique cuba menggantikan Rafinha dengan Andres Iniesta tetapi kemasukan pemain senior itu tidak memberikan kesan. Sementara itu Sociedad terus merapatkan barisan pertahanannya.

Tekanan Barcelona dapat dilihat apabila Enrique menggantikan pemainnya dengan memasukkan Ivan Rakitic menggantikan Jordi Alba dengan harapan Barcelona kreatif melakukan serangan. Namun, usahanya itu gagal sehinggalah keputusan kekal 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan ini juga memperlihatkan Barca mengalami kekalahan dalam tiga perlawanan liga terakhir mereka, tempoh paling lama mereka tanpa kemenangan La Liga sejak Enrique mengambil alih pada 2014.

Enrique menekankan kepentingan  untuk menang menjelang saat akhir penghujung liga.

"Kami jelas tidak boleh menggugurkan lebih banyak mata. Kami tidak berada pada tahap terbaik dalam beberapa perlawanan terakhir dan liga ini akan dimenangi oleh pasukan yang paling konsisten dalam baki perlawanan. Saya mahu pasukan ini mempamerkan aksi terbaik berbanding sebelum ini menentang Valencia."

Sebelum ini Barcelona juga menahan malu di kandang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Real Madrid.
Tags / Kata Kunci: La Liga , Luis Enrique

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan