Masalah Komunikasi Pemain Pertahanan Jejas Kelantan - Devan

Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2016 3:16 PM

K.Devan.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Masalah komunikasi pemain pertahanan Kelantan masih menghantui pasukan itu sehingga membolehkan lawan mencuri kesempatan menggegarkan gawang, kata jurulatih K Devan.

Menurut Devan, barisan pertahanannya gagal berkomunikasi dengan baik, menyebabkan mereka tidak bersedia menerima serangan balas pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mudah membolosi pintu gol mereka.

Masalah komunikasi barisan pertahanan itu pernah disuarakannya pada awal musim yang menyebabkan mereka gagal mendapatkan keputusan yang diharapkan.

"Dalam bola sepak, apabila gawang dibolosi awal, ia akan menyukarkan pasukan menyusun dan mengatur permainan...itulah yang berlaku kepada kami pada separuh masa pertama," katanya selepas Kelantan sekadar seri 2-2 dengan JDT di laman sendiri malam Jumaat.

JDT mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pembukaan Juan Martin Lucero pada minit kesembilan sebelum penyerang kelahiran Argentina itu menggandakan jaringan pada minit ke-52.

Namun bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahyuddin merapatkan defisit jaringan, selang seminit kemudian sebelum Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyelamatkan maruah tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-67.

Devan mengakui gol Indra Putra membantu Kelantan menyusun kembali rentak permainan sehingga dapat menguasai bahagian tengah pada separuh masa kedua walaupun JDT banyak melakukan serangan balas.

Begitupun Devan, secara keseluruhannya berpuas hati selepas pasukannya dapat mengutip satu mata dengan JDT.

"Pemain menunjukkan satu peningkatan dalam permainan dan moral, mereka beraksi dengan baik pada separuh masa kedua walaupun separuh masa pertama kami ketinggalan satu gol," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: K Devan , Kelantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan