Kelantan Perlu Raih Tiga Mata Penuh Malam Ini

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2016 7:00 AM

K.Devan.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Pemain Kelantan perlu menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi untuk meraih tiga mata penuh ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, Jumaat malam.

Ketua Jurulatih Kelantan K.Devan berkata mereka harus bermain sepenuh jiwa bagi memastikan Kelantan menjadi pasukan pertama mampu mengalahkan skuad Harimau Selatan musim ini.

"Para pemain perlu memberikan 100 peratus komitmen kepada perlawanan bagi menunjukkan persembahan sebenar pasukan menghadapi cabaran JDT yang dibarisi pemain berkualiti," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Devan berkata pertemuan menentang JDT, juara bertahan Piala Konfederasi Asia (AFC Cup) musim lalu, merupakan perlawanan penting bagi menyuntik kembali moral pasukan Kelantan.

"Kami tidak boleh lagi tercicir mata terutama ketika beraksi di tempat sendiri," katanya.

Beliau berkata pasukannya mempunyai perancangan dan taktikal bagi menghalang kekuatan JDT terutama barisan serangan yang diketuai penyerang import Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero.

"Berkemungkinan Jonathan Lucca di bahagian tengah dapat kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan, namun kedudukan Jonathan McKain masih belum dipastikan sama ada dapat diturunkan atau tidak selepas mengalami kecederaan pada bahagian lututnya yang menyebabkan pada perlawanan sebelum ini dia tidak dapat diturunkan," kata Devan.

Kelantan kini berada di tangga keenam liga dengan mengutip lapan mata manakala JDT di kedudukan teratas liga dengan 16 mata. - BERNAMA
Tags / Kata Kunci: Kelantan , JDT , Liga Super

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan