Polis Switzerland Serbu Pejabat UEFA, Cari Dokumen Kontrak

Diterbitkan: Khamis, 7 April 2016 8:16 AM

Infantino dilantik sebagai Presiden FIFA selama tiga tahun, menggantikan Sepp Blater.

(Ubah saiz teks)

POLIS Switzerland menyerbu ibu pejabat Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk mengumpul maklumat mengenai kontrak yang ditandatangani Gianni Infantino yang kini menerajui Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), lapor Panama Papers.

Menurut Pejabat Guam Negara Switzerland (OAG), pencarian itu adalah sebahagian daripada prosiding jenayah berterusan yang dilancarkan kerana timbul rasa sangsi berhubung wujudnya salah urus jenayah dan penyelewengan.

"Prosiding jenayah OAG adalah berkaitan dengan pengambilalihan hak penyiaran dan pada masa ini ditujukan kepada individu tidak dikenali yang bermaksud buat masa ini tiada individu tertentu yang menjadi sasaran dalam prosiding ini," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan bahawa UEFA menjual hak penyiaran aksi Liga Juara-Juara (2006-2009) kepada seorang ahli perniagaan Argentina, Hugo dan Mariano Jinkis, pemilik Cross Trading.

Kedua-dua individu tersebut didakwa menjual semula hak penyiaran itu kepada stesen televisyen Teleamazonas yang berpangkalan di Ecuador dengan harga tiga kali ganda walaupun UEFA menegaskan mereka tidak tahu mengenai perjanjian tersebut.

UEFA mengesahkan Infantino yang bekerja dengan UEFA pada ketika itu merupakan salah seorang daripada dua pegawainya yang menandatangani kontrak tersebut.

UEFA menafikan mereka terlibat dalam sebarang salah laku.

"UEFA boleh mengesahkan pada hari ini kami menerima kunjungan daripada polis Switzerland yang bertindak atas waran dan meminta salinan kontrak antara UEFA dan Cross Trading/Teleamazonas," kata UEFA dalam satu kenyataan.

Hugo dan Mariano Jinkis merupakan antara beberapa pegawai bola sepak yang didakwa di Amerika Syarikat kerana terlibat dengan skandal rasuah pada tahun lalu.

Infantino pula dilantik sebagai Presiden FIFA pada Februari dan berazam membawa persekutuan itu bebas daripada sebarang skandal mahupun penyelewengan.

Tags / Kata Kunci: pejabat UEFA , Gianni Infantino , FIFA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan