Persembahan Hebat Skuad Projek Sukan Sea - Jurulatih

Diterbitkan: Khamis, 24 Mac 2016 2:47 PM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Aksi skuad bawah 22 tahun negara (B-22) yang memberikan persembahan meyakinkan ketika menentang pasukan B-22 Filipina malam tadi, nyata menggembirakan pengendalinya, Frank Bernhardt.

Bagi jurulatih berusia 46 tahun dari Jerman itu, kemenangan 4-1 bukan ukuran yang ditekankannya, sebaliknya persembahan anak didik sepanjang aksi sulung antarabangsa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, lebih mencuri perhatiannya.

"Saya tertarik dan puas hati dengan persembahan pemain. Mereka berjaya mengekalkan rentak dan bermain sebagai satu pasukan sehingga ke minit terakhir.

"Skuad ini mempunyai pemain yang baik dan mereka menampilkan apa yang diajar kepada mereka selama ini sewaktu latihan," katanya.

Skuad negara yang dibentuk untuk Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, membuka jaringan seawal minit ke-18 menerusi Muhammad Arif Farhan sebelum S. Kumaahran menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-29 hasil hantaran Nur Syamie Iszuan Amin.

N. Thanabalan menambah duka pasukan lawan apabila menjaringkan gol ketiga negara pada minit ke-64 sebelum Filipina merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti John Christoper Kanayama pada minit ke-72.

Selang tiga minit, skuad negara menambah jaringan menerusi Mohamad Farhan Roslan untuk menjadikan kedudukan 4-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Ditanya sama ada beliau akan merombak pasukannya untuk pertemuan dengan skuad senior Nepal Ahad ini, Bernhardt berkata ketika ini masih terlalu awal untuknya membuat keputusan.

Selain skuad B-22 Filipina yang dibentuk untuk menghadapi Sukan SEA 2017, pasukan bimbingan Bernhardt akan berdepan skuad kebangsaan Nepal pada 27 Mac ini di gelanggang sama di Paroi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan