Lima Bekas Pemain Kafa Terima Bayaran Awal Tunggakan Gaji

Diterbitkan: Khamis, 17 Mac 2016 8:58 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima bekas pemain Kelantan telah menerima bayaran awal tunggakan gaji mereka minggu ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail.

Izham berkata kelima-lima pemain itu telah mengesahkan menerima bayaran awal  mereka pada 15 Mac lepas.

"Bagi makluman semua, Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan) telah menghantar cadangan pembayaran tunggakan kepada PFAM dan menerusi perbincangan semua pihak yang terlibat, kesemuanya bersetuju dengan kaedah pembayaran yang dicadangkan itu.

"PFAM berharap persetujuan itu dipatuhi dan dipenuhi KAFA sehingga selesai pembayaran semua tunggakan," katanya.

Difahamkan lima bekas pemain Kelantan itu adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama Kafa.

Dalam pada itu, PFAM berharap tindakan positif dan profesional yang sama daripada Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera dan menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempercepatkan proses rayuan Felda United bagi menyelesaikan isu tunggakan bayaran pemain.

Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu melunaskan hutang berjumlah RM3.7 juta manakala Felda United FC sebanyak RM220,000.

Tags / Kata Kunci: Kafa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan