Zainal Yakin Selangor Berpeluang Ke Pusingan 16 Piala AFC

Diterbitkan: Rabu, 9 Mac 2016 2:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan menyifatkan skuad Gergasi Merah masih berpeluang layak ke pusingan 16 saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan syarat mereka melakar kemenangan sulung berdepan pasukan Lt Sheikh Jamal Dhanmondi di tempat lawan pada 15 Mac ini.

Beliau mengakui kemenangan ke atas wakil Bangladesh itu mampu menghidupkan kembali peluang skuad Merah Kuning setelah hanya mengutip satu mata selepas dua perlawanan untuk berada di tangga ketiga Kumpulan E ketika ini.

"Peluang masih ada, namun kita perlu berusaha lebih kuat untuk mencari mata pada perlawanan di tempat lawan," katanya.

Malam tadi dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Perbandaran Selayang,  Selangor tewas 0-1 kepada wakil Singapura, Tampines Rovers hasil jaringan Fazrul Nawaz Shahul Hameed pada minit ke-26.

Zainal mengakui kesilapan barisan pertahanan selain kegagalan jentera serangan menyempurnakan peluang terhidang menyebabkan Selangor gagal mencatat kemenangan.

Beliau berkata keletihan dalam kalangan pemain utama selepas beraksi dalam sembilan perlawanan dalam tempoh 19 hari turut mendorong kepada kekalahan tersebut.

"Mereka sudah berusaha gigih namun disebabkan kelalaian pemain melepaskan gol dengan begitu mudah, kita terpaksa bekerja keras untuk menyamakan kedudukan namun malangnya banyak peluang terhidang dilepaskan dengan begitu sahaja," katanya sambil menjelaskan penggiliran pemain utama dengan pemain simpanan tidak mendatangkan sebarang hasil pada perlawanan berkenaan.

Sementara itu ketua jurulatih Tampines Rovers, V. Sundramoorthy menafikan pasukannya berpeluang besar menempah tiket awal ke pusingan 16 selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut pada peringkat kumpulan.

Beliau berkata 'The Stags' memerlukan kemenangan dalam dua perlawanan akan datang bagi memudahkan ke pusingan 16.

Tampines Rovers selaku juara lima kali Liga S bakal berdepan kelab Filipina,  Ceres La Salle FC di Stadium Jalan Besar pada 15 Mac sebelum bertemu semula di tempat lawan pada 12 April.

"Kemenangan ke atas Selangor adalah berbaloi kerana Selangor merupakan pasukan yang mempunyai ramai pemain baik dan kami kini perlu memfokus kepada persediaan untuk perlawanan akan datang," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Zainal Abidin Hassan , Gergasi Merah , AFC

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan