Galatasaray Digantung Setahun Daripada Aksi Eropah

Diterbitkan: Rabu, 2 Mac 2016 10:35 PM

(Ubah saiz teks)

BADAN Induk bola sepak Eropah, UEFA membuat keputusan untuk menggantung kelab Turki, Galatasaray daripada beraksi di pentas Eropah selama setahun gara-gara gagal mengikut peraturan Financial Fair Play (FFP).

Presiden Galatasaray memberitahu Reuters bulan lalu bahawa kelab juara itu kehilangan £127 juta pound (RM740 juta) dalam tempoh tiga musim, melangkaui garis panduan yang ditetapkan oleh UEFA.

Pada Januari lalu, UEFA mendedahkan Galatasaray gagal mengikut peraturan sekaligus kemungkinan akan digantung.

Menurut peraturan FFP yang telah digunakan sejak tahun 2011, mana-mana kelab yang mengambil bahagian di peringkat Eropah dilarang menggunakan wang melebihi daripada pendapatan kelab.

Peraturan tersebut dilihat sukar untuk dipatuhi oleh pemilik kelab yang lebih suka melabur wang tanpa had.

Sebelum itu Galatasaray dijangka dikenakan hukuman selama dua tahun, namun UEFA berkata, denda itu mungkin akan dilanjutkan pada tahun kedua jika kelab itu kehilangan lebih daripada 10 juta euro (RM45 juta) musim ini.

Bulan lalu, mereka telah menjual penyerang kebangsaan Burak Yilmaz ke kelab Beijing, Guoan dengan harga 8 juta euro bagi menampung kewangan kelab.

Skuad dari Istanbul itu menjadi kelab Turki pertama yang menjuarai trofi Eropah selepas menewaskan Arsenal pada tahun 2000 pada aksi Piala UEFA sebelum ke Liga Europa. 

Bagaimanapun cita-cita untuk terus berada di peringkat antarabangsa menjadi masalah kepada juara liga Turki itu memandangkan kewangan semakin terhad setelah berbelanja besar sebelum ini.

Galatasaray menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan C Liga Juara-Juara musim ini di belakang Atletico Madrid dan Benfica sekaligus terpaksa bermain dalam Liga Europa yang menyaksikan mereka tewas 4-2 kepada Lazio pada pusingan 32 pasukan.

"Keputusan ini diambil selepas Galatasaray gagal mengikut peraturan perjanjian," jelas UEFA dalam satu kenyataan pada Rabu.

Galatasaray dijangka akan membuat permohonan rayuan berkaitan dengan keputusan penggantungan ini di  Mahkamah Timbang Tara Sukan dalam tempoh 21 hari.

Selain itu, pada Selasa jurulatih pasukan remaja Orhan Atikto dilantik menggantikan pengurus Mustafa Denizli yang meletak jawatan  selepas tiga bulan menguruskan kelab itu.

Tags / Kata Kunci: Galatasaray , UEFA , digantung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan