D'Herbs Hampir Pasti Taja Kedah

Diterbitkan: Rabu, 2 Mac 2016 4:04 PM

Aliff Syukri Kamarzaman.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Juara Liga Perdana 2015, Kedah, semakin hampir mendapatkan syarikat D'Herbs Healthy Sdn Bhd sebagai penaja pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengasas syarikat itu, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, berkata perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah dilakukan baru-baru ini.

"Hampir 99.9 peratus kita bersetuju untuk menaja skuad Lang Merah, cuma masih menunggu beberapa perkara yang belum diputuskan KFA. Saya tidak meletakkan apa-apa syarat kepada KFA seperti jersi atau cat stadium.

"Jika KFA putuskan dalam masa terdekat, kita akan selesaikan proses penajaan bagi merancakkan lagi industri bola sepak negeri ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan antara Kedah dan Kelantan, di Stadium Darul Aman, di sini malam Selasa.

Kedah menang 2-1 ke atas Kelantan dalam saingan Liga Super menerusi gol pemain import, Carlos Eduardo pada minit ke-67 dan Mohd Syafiq Ahmad sembilan minit sebelum perlawanan tamat, selepas Indra Putra Mahayuddin membuka jaringan untuk pelawat pada minit ke-29.

Aliff berkata beliau memilih pasukan itu kerana kagum dengan semangat dan perpaduan dalam kalangan penyokongnya yang datang dari seluruh pelosok negeri bagi menyokong pasukan mereka.

Ditanya mengenai laporan beliau membatalkan hasrat menaja Kedah selepas krisis pertukaran Menteri Besar baru-baru ini, Aliff mengakui perbincangan itu terhenti seketika sebelum KFA kembali melakukan rundingan berhubung penajaan berkenaan.

Aliff berkata perbincangan bersama KFA menerusi Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilakukan hampir dua bulan sebelum krisis pertukaran jawatan itu berlaku, sehingga ada yang mengatakan beliau membatalkan hasrat tajaan tersebut.

Mengenai tagline 'terlajak gol' setiap kali pasukan itu melakukan jaringan, Aliff berkata perkara itu bergantung kepada KFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada membenarkannya atau tidak.

"Memang hasrat saya untuk pemain kata terlajak gol tetapi kalau perkataan itu macam kelakar dan menjejaskan reputasi bola sepak negara ini mungkin ia tidak perlu digunakan," katanya.

Aliff berkata apa yang diharapkannya ialah mahu melihat pasukan tajaannya mempamerkan aksi lebih baik setiap kali perlawanan dan dapat meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

"Tujuan saya yang mengusahakan syarikat kosmetik menaja pasukan hanya untuk memeriahkan industri bola sepak di negara ini yang agak suram sebelum ini," katanya. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: D'Herbs , Aliff Syukri , Kedah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan