Kelantan Tersungkur Di Alor Setar

Diterbitkan: Selasa, 1 Mac 2016 11:52 PM

Pemain pasukan Kedah, Carlos Eduardo Kahe (tengah) meraikan bersama rakan sepasukannya selepas berjaya menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super antara Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman, Selasa. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

PENYERANG muda Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad muncul sebagai hero skuad Helang Merah apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu selepas dimasukkan sebagai pemain simpanan.

Dalam perlawanan keempat Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Selasa, Kedah berjaya mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan Kelatan 2-1.

Dalam perlawanan itu, pasukan pelawat yang dibimbing oleh K. Devan terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-31.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, Kedah kembali mengatur serangan bertali-arus ke gawang pelawat, namun ketumpulan penyudah antara yang menghalang pasukan itu mendapatkan gol.

Bagaimanapun kedudukan yang menyebelahi pasukan Kelantan kekal sehingga babak pertama ditamatkan.

Aksi yang bersambung pada babak kedua menyaksikan Kedah lebih mengatur serangan dengan mendapat beberapa peluang berharga di depan gol, namun ia gagal mengembirakan penonton.

Hasrat penyokong untuk bersorak gembira akhirnya tiba pada minit ke-57 apabila Carlos Kahe menjaringkan gol penyamaan.

Seakan memberi nafas baru, barisan pemain Kedah terus mengasak kubu pasukan pelawat bagi mendapatkan gol kemenangan.

Muhammad Syafiq yang dimasukkan sebagai pemain simpanan membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan gol kedua Kedah pada minit ke-75.

Kedudukan Kedah mendahului Kelantan 2-1 kekal sehingga tiupan wisel terakhir dibunyikan oleh pengadil perlawanan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan