Infantino Berdepan Cabaran Getir Pulihkan Imej Fifa - Peter Velappan

Diterbitkan: Selasa, 1 Mac 2016 8:57 PM

Peter Velappan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden baharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino bakal berdepan cabaran getir dalam mengembalikan semula imej badan induk bola sepak dunia itu.

"Cabaran pertama Infantino adalah bagi membersihkan isu rasuah dan penyelewengan yang bukan satu tugas mudah, dan jangan lupa terdapat juga sindiket perjudian dan mengatur perlawanan yang perlu dibanteras," kata bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, Datuk Peter Velappan.

Velappan berkata, bola sepak adalah sukan sangat popular kerana mendapat sokongan hebat daripada penyokong seperti dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Bundes Liga dan Liga Sepanyol (La Liga).

"Namun, masalahnya dalam mengurus. Generasi baharu pegawai bola sepak di peringkat Fifa, kebangsaan dan kelab perlu pemimpin yang berintegriti dan dihormati. Mereka jangan berada di situ kerana mahu mengisi poket! Perlu berkhidmat.

"Saya sentiasa nyatakan, apabila anda mahu membina rumah...di mana perlu bermula? Anda perlu mempunyai asas dan juga tiang.

"Asas adalah di sekolah...sekolah perlu mengajar sukan secara umum dan bola sepak khususnya kepada mereka yang pergi ke sekolah, baik kepada pelajar lelaki mahupun perempuan. Tiang adalah kelab. Kita perlu kelab profesional untuk membimbing anak-anak untuk pembangunan bola sepak.

"Apabila mempunyai asas dan tiang yang kukuh, anda tidak perlu risau tentang bumbung kerana mereka secara sendiri menjadi pemain yang bagus dan matang untuk menjadi pemain bola sepak bertaraf dunia," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Velappan berkata, Infantino dan Fifa harus membangunkan struktur bola sepak bermula daripada pelajar-pelajar sekolah.

"Fifa perlu mengisytiharkan mereka kini bebas daripada jenayah dan kesalahan lain. Orang ramai akan melihat Fifa dengan jenama baharu dan meletakkan harapan sangat tinggi kepada badan induk itu," kata Velappan.

Infantino dipilih sebagai presiden Fifa kesembilan, selepas bekas presiden Sepp Blatter digantung dan didenda 50,000 Swiss Franc (RM216,696) kerana melanggar etika.

Penggantungan itu sekaligus menamatkan kedudukan Blatter selaku presiden Fifa selama 17 tahun. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan