"Saya Bebas, Habiskan Banyak Masa Di Tepi Pantai" - Hodak

Diterbitkan: Khamis, 25 Februari 2016 8:00 AM

Bojan Hodak.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengakui dia kini bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pasukan bola sepak.

Jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia itu memberitahu beliau kini menetap di Batu Ferringhi, Pulau Pinang dan kebanyakan masanya dihabiskan dengan bersantai di tepi pantai.

"Saya tinggal di Pulau Pinang, tempat yang bagus, rumah kedua saya. Keluarga saya gembira berada di sini. Masa saya banyak dihabiskan di tepi pantai.

"Saya juga menghantar anak saya ke sekolah, kelas tuisyen dan juga berlatih bola sepak setiap petang. Saya ada banyak masa terluang sekarang," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Justeru, pengurus berusia 45 tahun itu berkata beliau sedia mempertimbangkan tawaran daripada mana-mana kelab terbaik yang menjanjikan gaji lumayan.

"Ia normal untuk mana-mana jurulatih. Saya akan pertimbangkan jika terdapat sebarang tawaran tapi sejujurnya saya masih belum menerima tawaran rasmi daripada mana-mana kelab," katanya.

Ketika ditanya mengenai spekulasi bahawa beliau sudah dirisik sebuah pasukan Liga Malaysia, Hodak bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

Sebaliknya, beliau menegaskan tiada mana-mana pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang menghubunginya.

"Tiada siapa hubungi saya secara rasmi. Saya boleh tunjukkan anda panggilan yang saya terima pada minggu ini.

"Tidak adil bagi saya untuk membuat sebarang komen jika sesuatu kelab itu masih mempunyai jurulatih yang sah," katanya.

Walaupun mengakui terlalu rindu untuk menjejakkan semula kaki di atas padang, Hodak tetap mempertahankan Devan dengan menyifatkan beliau sebagai seorang jurulatih yang hebat dan berpengalaman luas.

"Saya menghormati beliau. Beliau antara jurulatih yang hebat kerana mempunyai rekod baik terutamanya ketika mengemudi Selangor sebelum ini," katanya.

Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Hasmiza Othman menegaskan sekarang bukan masa sesuai untuk pecat Devan.


Justeru, Hodak berkata bekas pengurus The Red Giants itu sepatutnya diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan keupayaannya sekali gus memulihkan prestasi pasukan.

"Saya tidak tahu mengapa beliau terima tekanan yang cukup hebat sedangkan beliau masih lagi baharu bersama Kelantan. Kafa perlu beri sedikit masa dan ruang kepadanya," katanya.

Diminta mengulas mengenai namanya yang sering disebut-sebut penyokong sebagai pengganti Devan, Bojan menganggap ia sebagai sesuatu yang normal kerana beliau pernah membantu Kelantan menjulang juara treble pada 2012.

"Mungkin mereka harapkan saya kembali ke sana dengan harapan dapat membantu Kelantan memenangi semula trofi. Saya amat terharu tapi penyokong perlu memberi sokongan padu kepada jurulatih yang ada sekarang," katanya.

Hodak yang memulakan tugasnya bersama Kelantan pada Mac 2012 pernah mengemudi pasukan itu memenangi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Malah Kelantan turut melayakkan diri ada suku akhir Piala AFC 2012 yang menyaksikan pasukan itu tewas dengan agregat 3-6 kepada Arbil FC dari Iraq.

Namun, Hodak meninggalkan Kelantan pada hujung musim 2013 dan menyertai Johor Darul Tazim (JDT) pada 2014.

Pada April tahun lalu, JDT memutuskan untuk merehatkan Hodak kerana skuad Harimau Selatan itu memerlukan perubahan taktikal untuk meningkatkan tahap permainan pasukan.

Di bawah bimbingan Hodak, JDT merangkul Piala Sumbangsih pada 2015 dengan mengalahkan Pahang 2-0 serta membantu pasukan itu menjuarai Liga Super serta layak ke final Piala Malaysia musim lalu.





Tags / Kata Kunci: Bojan Hodak , Kelantan , Kafa

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan