Sekarang Bukan Masa Sesuai Pecat K. Devan - Vida

Diterbitkan: Rabu, 24 Februari 2016 8:33 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menegaskan sekarang bukan masa yang sesuai untuk menukar ketua jurulatih Kelantan, K.Devan.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, Devan perlu diberikan peluang untuk memulihkan prestasi dan ketumpulan jentera serangan pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

"Saya rasa masih terlalu awal untuk perkatakan mengenai pertukaran jurulatih. Lagipun pasukan ini baharu sahaja mengharungi tiga perlawanan.

"Sekarang bukan masa sesuai untuk tukar jurulatih.

"Beri beliau peluang untuk beliau buktikan kemampuan. Saya yakin beliau sudah tahu apa yang perlu dilakukan," katanya kepada mStar Online.

Vida yang juga penaja utama Kelantan yakin Devan sedang bekerja keras untuk memperbaiki jentera serangan pasukan selepas gagal 'kenduri gol' menentang pasukan Liga FAM, UKM FC tempoh hari.

"Memang saya kecewa kerana pasukan gagal menjaringkan sekurang-kurangnya lapan gol. Mereka pemain profesional tapi gagal menjinakkan pelajar universiti.

"Namun saya tidak persalahkan Devan 100 peratus di atas kegagalan itu kerana Kelantan masih mengekalkan rekod tanpa kalah. Cuma saya terkilan dengan prestasi hambar pemain import Dramane Traore. Dia patut jaringkan banyak gol tapi penyudahnya masih tumpul," kata Vida.

Walaupun timbul desas desus bahawa bekas pengendali Kelantan, Bojan Hodak akan kembali mengemudi pasukan itu, Vida berkata beliau tidak mahu memikirkan perkara yang belum ada kebenarannya.

"Memang benar banyak spekulasi mengaitkan Bojan Hodak mula timbul dan namanya turut dicanang penyokong Kelantan, tapi saya minta janganlah hangatkan lagi keadaan.

"Saya tak nak isu ini menjejaskan konsentrasi Devan dan juga pasukan dalam melakukan persediaan menentang Sarawak nanti. Abaikanlah spekulasi tidak berasas itu," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai gambar Hodak yang dimuat naik dalam laman Instagramnya beberapa hari lalu, Vida berkata orang ramai salah faham mengenai perkara tersebut.

"Saya rasa berlaku salah faham mengenai perkara itu. Sebenarnya saya hanya memuat naik status entri kelab penyokong PQPTRW yang tidak berpuas hati dengan corak permainan Devan yang masih mengekalkan taktikal lama dan mudah dibaca pihak lawan.

"Saya hanya nak tahu maklum balas orang ramai khususnya penyokong PQPTRW mengenai senario terkini pasukan. Lagipun saya sudah tulis dalam kapsyen supaya jangan libatkan Hodak dulu. Mungkin mereka terkejut kerana tiba-tiba ada gambar Hodak," katanya.

Susulan itu, Vida meminta semua penyokong PQPTRW supaya terus memberi sokongan kepada Devan untuk memulihkan semula prestasi hambar PQPTRW dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Janganlah beri tekanan kepada beliau, saya percaya beliau akan mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang membelenggu pasukan dalam usaha mencatat kemenangan ketika bertemu Sarawak nanti.

"Kita tunggu dan lihat prestasi pasukan pada Jumaat ini. Teruskan sokong beliau dan pemain agar dapat memperbaiki kelemahan sebelum ini," katanya.

Mengenai Traore pula, jutawan kosmetik itu berharap agar pemain kelahiran Mali tersebut dapat melakukan kejutan dan mengulangi prestasi terbaiknya seperti musim lalu.

"Traore perlu tajamkan penyudahnya. Dia perlu manfaatkan kelebihan fizikal yang ada pada dirinya. Jangan buat saya kecewa lagi," kata Vida yang kini berada di China.

Pasukan PQPTRW akan menentang Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Kelantan pada Jumaat ini.

Dalam perlawanan sebelum ini, Kelantan mencatat dua kemenangan tipis 1-0 masing-masing ketika bertemu PDRM (Liga Super) dan UKM FC (Piala FA) dan keputusan seri 0-0 ketika berkunjung ke Perak (Liga Super).

Tags / Kata Kunci: Kelantan

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan