Piala FA:Kelantan Ketuai Lapan Pasukan Mara Ke Aksi Ketiga

Diterbitkan: Ahad, 21 Februari 2016 12:55 AM

Pemain Kelantan Md Khairul Izuan (kanan) dikawal rapat pemain KL UMK FC, Faiz B. Bandong pada perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV Sabtu malam. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara dua kali Piala FA, Kelantan mengetuai kemaraan tujuh pasukan lain ke pusingan ketiga selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu.

Tujuh pasukan lain adalah Sabah, Negeri Sembilan, Felda United, Kuala Lumpur, Perak, Kuantan FA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu, jaringan Baze Ilijoski pada minit ke-83 ke atas UKM FC memastikan skuad 'Pamoga Qu Puteh The Red Warriors' mara ke pusingan ketiga.

Negeri Sembilan pula mara selepas menang 2-0 ke atas wakil kelab Piala FAM,Sungai Ara FC di Stadium Mini Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hasil jaringan Daniel Ting pada minit ke-65 dan Joel Chianese, selang empat minit kemudian.

Turut meraih kemenangan dengan jaringan sama adalah Felda United yangmengatasi PB Ipoh di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang menerusi gol Francis Forkey Doe pada minit ke-41 dan Nor Fazly Alias pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Kuala Lumpur mara ke pusingan ketiga selepas menang 4-2 ke atas Melaka United menerusi penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan sebelum itu, terikat 1-1 sehingga masa tambahan 30 minit dengan Kuala Lumpur mendahului menerusi jaringan Anselmo Casagrande pada minit keempat, sebelum Jasmir Mehat menyamakan kedudukan untuk Melaka United pada minit ke-89.

Juara dua kali Piala FA, Perak melangkah ke pusingan ketiga selepas menang selesa 3-1 ke atas Sarawak di Stadium Perak, Ipoh.

Tiga gol skuad 'The Bos Gaurus' dijaringkan Thiago Junior pada minit ke-81,Firdaus Saiyidi (91') dan Ahmad Khairil Anuar pada minit ke-111.

Dalam pada itu, wakil kelab Piala FAM, Kuantan FA melakar kejutan selepas menewaskan juara Piala FA 2002, Pulau Pinang 4-2 selepas tambahan masa 30 minit pada aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Empat gol skuad 'The Seagulls' disumbangkan oleh Dao Bakary pada minit ke-90 dan 113', Shunsuke Nakatake (105') dan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-109,manakala Matias Cordoba menjaringkan dua gol untuk Pulau Pinang pada minit ke-80 dan 110'.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula menundukkan Shahzan Muda 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, manakala Sabah mengatasi Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF FC) 3-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Piala FA Pusingan Kedua

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan