FAM Cadang Denda Pasukan Tarik Diri Piala FAM

Diterbitkan: Ahad, 14 Februari 2016 10:54 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan denda terhadap pasukan yang menarik diri dalam saingan Piala FAM pada musim seterusnya.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menegaskan langkah tersebut penting dalam memastikan pasukan bertanding tidak sewenang-wenangnya menggunakan alasan 'kekangan kewangan' untuk menarik diri dalam Piala FAM yang sebelum ini dikenali sebagai Liga FAM.

Beliau menjelaskan badan induk itu sebelum ini hanya mewajibkan pasukan bertanding menyediakan jaminan kewangan selain diberi peringatan untuk bersaing dalam Piala FAM dalam sesuatu tempoh yang ditetapkan.

"Kita tidak mahu sesebuah pasukan hanya bersaing untuk jangka masa singkat sebelum menarik diri, jadi adalah penting sesebuah pasukan mempunyai kewangan yang kukuh bagi bersaing dalam Piala FAM," katanya.

Afandi berkata demikian pada sidang media selepas majlis undian Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia 2016, di sini, Ahad.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan badan induk berkenaan juga bersedia mempertimbangkan cadangan penggunaan pemain import dalam saingan Piala FAM bagi merancakkan lagi kejohanan itu yang diperkenalkan sejak 1952.

Katanya perkara berkenaan bagaimanapun akan dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM yang mempunyai kuasa untuk memutuskan cadangan baharu daripada pelbagai pihak berhubung penambahbaikan dalam pertandingan tempatan.

"Penggunaan pemain import itu hanyalah di peringkat cadangan namun kita hanya melaksanakan perkara berkenaan setelah mendapat pandangan daripada semua pihak kerana pasukan yang layak nanti akan bersaing dalam Liga Perdana," kata Afandi.

Tags / Kata Kunci: FAM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan