Syahrul Azwari Bakal Dibenarkan Wakili Sarawak - Sudarsono

Diterbitkan: Sabtu, 6 Februari 2016 6:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Bekas pemain Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim yang menjadi rebutan antara pasukan Sarawak dan Kelantan, dijangka dibenarkan mewakili skuad Bujang Senang musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Sudarsono Osman, bagaimanapun berkata kebenaran itu akan melibatkan beberapa syarat yang kini sedang dibincangkan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Mengenai status pemain muda Syahrul ini, kita sudah berbincang dengan KAFA dan mereka bersetuju memberi peluang kepada Syahrul, kemungkinan besar mewakili pasukan Sarawak dengan beberapa syarat yang masih dalam rundingan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi pasukan Sarawak di sebuah pusat membeli-belah, di sini hari ini.

Sudarsono berkata dalam perbincangan itu, FAS turut menyuarakan beberapa pendapat selain berusaha memuktamadkan segera perbincangan memandangkan tarikh pendaftaran pemain akan berakhir minggu depan.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAS Datuk Abu Bakar Marzuki, pengurus pasukan Abdullah Julaihi serta rakan penaja pasukan Sarawak musim ini.

"Kita perlu segera selesaikan supaya bakat pemain muda ini tidak akan terbantut sebab kita lihat Syahrul seorang pemain yang mempunyai cita-cita untuk mewakili pasukan Harimau Malaysia dan dia rasa kalau mewakili Sarawak, dia mempunyai peluang bermain dalam setiap perlawanan.

"Itulah harapan dia dan kita berharap dapat merealisasikan cita-cita pemain muda ini," kata Sudarsono.

Sementara itu dalan ucapannya pada majlis itu, Sudarsono berharap ketua jurulatih pasukan Sarawak Datuk K. Rajagobal mampu membawa kejayaan kepada pasukan mengharungi musim ini Katanya skuad Bujang Senang meletakkan sasaran menduduki lima kelompok teratas dalam saingan Liga Super musim ini.

"Harapan saya agar ketua jurulatih mampu memberi kejayaan kepada pasukan musim ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar pasukan maju jaya dan mencapai kejayaan cemerlang musim ini," katanya.

Pada majlis itu, ribuan penyokong yang hadir diperkenalkan dengan tiga jersi baharu pasukan Sarawak berwarna merah untuk aksi di tempat sendiri, hitam untuk perlawanan di tempat lawan dan jersi ketiga berwarna kuning.

Pada majlis yang sama, Sudarsono turut mengumumkan Marina Park City sebagai penaja utama pasukan Sarawak.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Syahrul Azwari , Sarawak , Kelantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan