Kontrak Tidak Disambung, Terry Sah Tinggalkan Chelsea

Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2016 4:10 AM

(Ubah saiz teks)

KAPTEN Chelsea, John Terry mengesahkan dia akan meninggalkan skuad selepas kontraknya tidak disambung.


Terry mengumumkan perkara tersebut kepada media selepas The Blues menang 5-1 ke atas MK Dons dalam aksi pusingan keempat Piala FA Inggeris, Ahad malam.

“Saya mengetahui kontrak tidak akan disambung pada minggu lepas sebelum perlawanan bertemu Arsenal.

“Saya harus menerimanya. Ini adalah aksi terakhir saya dalam Piala FA, jadi saya akan cuba melakukan yang terbaik.

“Bagi saya musim ini sangat sengit, dan saya akan terus berusaha, bukan sahaja dalam perlawanan ini, tetapi juga untuk Liga Perdana," jelasnya.

Sebelum ini Terry cuba mendapatkan kepastian mengenai masa depannya, namun pengurus baharu kelab dijangka tiba selepas berakhirnya musim ini.

Pihak kelab berpendapat kontrak tidak akan diperbaharui sebelum pelantikan pengurus baru.

“Mereka menjelaskan, apabila pengurus baharu tiba, sebarang perubahan akan berlaku.

“Saya perlu memastikan status secepat mungkin seperti mana yang dibuat pada setiap Januari sebelum ini. Dan penjelasan itu sahaja yang diberitahu oleh pihak kelab.

“Jelas sekali saya tidak dapat bersara di Chelsea. Saya akan pergi ke tempat lain dan sudah tentu saya akan mengambil masa untuk menerima situasi baharu nanti.

“Bagaimanapun saya perlu tekankan bahawa perkara ini diketahui sebelum perlawanan dengan Arsenal dan prestasi saya tetap tidak berubah.

“Selagi berada di sini, saya akan memberi segalanya kepada kelab dan membantu menamatkan saingan dengan keputusan terbaik,” tambah Terry.

Sepanjang kariernya bersama Chelsea, pemain berusia 35 tahun ini berjaya membantu kelab meraih piala-piala utama termasuk trofi juara liga (4 kali), Piala FA (5 kali) dan juara Liga Europa serta Liga juara-Juara.

Musim lalu, Terry diberi tawaran sambungan kontrak pada Mac 2015.

Tags / Kata Kunci: John Terry , Kapten , Chelsea

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan