Penyokong Perlis Mula Penuhi Stadium Kerana Dollah

Diterbitkan: Ahad, 31 Januari 2016 9:20 AM

(Ubah saiz teks)

SELAIN merealisasikan impian Persatuan Bolasepak Perlis (Perlis FA) untuk melihat skuad itu lebih maju, Ketua Jurulatih Perlis, Dollah Salleh berdepan satu lagi tanggungjawab besar, iaitu mengembalikan penyokong-penyokong setia Singa Utara ke stadium.

Ketika tinjauan mStar Online di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar Jumaat lalu, kehadiran penonton yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan pertama skuad Dollah menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) amat memberangsangkan.

Lebih kurang tiga ribu penyokong hadir memberi sokongan kepada kepada pasukan yang pernah bergelar juara Liga Super sedekad lalu.

Perasaan teruja penyokong-penyokong Perlis jelas kelihatan, lebih-lebih lagi apabila  Dollah muncul di padang bersama pemain-pemainnya.

Namun lebih menarik kelibat dua wanita awal 50-an yang turut hadir bersama keluarga.

Duduk di barisan hadapan tempat penonton, Wan Tam Wan Omar dan Fauziah Abdul Wahab (gambar) mengakui mereka adalah penyokong setia Singa Utara.

Fauziah (kiri) dan Wan Tam.

"Sekarang ramai orang-orang kampung datang ke stadium. Ketika Perlis merosot dulu, kami jarang datang sini.

"Sejak tahun lalu, kami tak pernah terlepas tengok mereka bermain. Malah ketika perlawanan Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini, kami turut ke Melaka untuk menyokong mereka.

"Kami masuk Kelab Penyokong Singa Utara. Senang kalau ada apa-apa program kami akan ikut," jelas Wan Tam.

Sementara itu Fauziah berharap pasukan Perlis mampu membawa balik sebarang piala ke Kangar tahun ini.

"Setakat ini, kami belum kenal semua lagi nama-nama pemain sebab ramai orang baru. Tetapi jurulatih Dollah kami kenal.

"Kami harap jurulatih Dollah boleh bawa pasukan ke Liga Super tahun depan," jelasnya.

Manakala seorang lagi penyokong Perlis, Idris Sanusi,37, mengakui faktor kedatangannya ke stadium ini disebabkan Dollah.

"Saya asal dari Selangor, manakala isteri orang Perlis. Jadi tahun ini saya akan sokong dua-dua negeri kerana pasukan Singa Utara kembali ‘hidup’.

"Tambahan pula saya memang sokong jurulatih Dollah dan percaya dia mampu membuat sesuatu yang terbaik kepada Perlis.

"Saya harap Perlis boleh kembali ke Liga Super," jelas Idris.

Sebagai rekod, kali terakhir Perlis beraksi dalam Liga Super pada tahun 2011 sebelum tersingkir ke Liga Perdana.

Tempoh tiga tahun beraksi dalam Liga Perdana (2012-2014) kedudukan keseluruhan mereka hanyalah  ‘nyawa-nyawa ikan’ sehinggalah tersingkir ke Liga FAM.

Namun pada tahun 2015, Singa Utara  kembali bernyawa walaupun pada awal musim diselubungi dengan masalah gaji yang dihadapi pemain-pemain ketika itu.

Masalah tersebut bagaimanapun dapat diselesaikan secara baik di antara pemain juga pihak pengurusan.

Sentuhan bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah lebih kurang setahun mengendalikan skuad ini selepas mengambil alih daripada jurulatih Reduan Abdullah menampakkan hasil positif sehingga berjaya bergelar naib juara Liga FAM 2015 sekaligus berpindah ke Liga Perdana musim ini.

Namun bekas pemain tengah Perlis itu meletak jawatan pada Oktober tahun lalu.

Sedar dengan saingan sengit serta pengalaman pasukan-pasukan yang akan bertanding dalam liga perdana, Pengerusi Perlis FA, Datuk Rozabil Abdul Rahman (gambar) telah melantik bekas ketua jurulatih kebangsaan iaitu Dollah untuk menguruskan skuad ini.

Dengan pengalaman di peringkat kebangsaan serta rekod ‘magis’ membawa beberapa pasukan sebelum ini sehingga bergelar juara, kini masa depan bola sepak Perlis terletak di bahu pengurus berusia 52 tahun itu.

Biarpun masih terlalu awal membuat penilaian, jelas sekali kehadiran Dollah di Kangar telah memberi semangat baharu kepada penyokong-penyokong setia Perlis ini.

Tags / Kata Kunci: Perlis

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan