Pembinaan Stadium Baharu JDT Bermula Februari

Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2016 3:32 PM

Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) diiringi Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim (kanan) memotong reben merasmikan majlis pecah tanah Bandar Sukan JDT pada Sabtu. Stadium itu akan dilengkapi kemudahan lain seperti hotel, apartmen, pusat membeli-belah, padang sukan ragbi, gelanggang tenis dan futsal di tanah seluas 16.2 hektar yang dibina secara berperingkat

(Ubah saiz teks)

ISKANDAR PUTERI: Pembinaan stadium baharu bagi kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akan bermula selepas sambutan Tahun Baharu Cina, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim.

Beliau yang ditemui pemberita selepas upacara majlis pecah tanah projek Bandar Sukan JDT hari ini berkata, kerja pembersihan tapak telah pun dijalankan oleh pemajunya Forest City.

"Dari perancangan, kita jangka stadium ini dapat disiapkan dalam tempoh setahun setengah. Namun saya yakin dengan pembangunan yang dibuat Forest City, ia akan dapat dipercepatkan kepada tempoh setahun," katanya di sini.

Stadium Sultan Ibrahim Larkin yang boleh menampung seramai 45,000 penonton pada satu masa dan dibina dengan kos kira-kira RM200 juta untuk menggantikan stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, yang akan diberikan khusus kepada pasukan JDT 2, manakala Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pula adalah digunakan untuk pasukan JDT 3 dan JDT 4.

Ismail berkata stadium baharu itu melibat keluasan 12.1 hektar turut dilengkapi kemudahan seperti hotel, apartmen, pusat beli-belah, padang sukan ragbi, gelanggang tenis dan futsal yang dibangunkan secara berperingkat di tanah seluas 16.2 hektar lagi.

Upacara pecah tanah dirasmikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik pasukan JDT.

Turut berangkat isteri baginda Che Puan Khaleeda Bustamam dan adinda baginda Tunku Aminah Maimunah Iskandariah serta Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abd Latif Bandi.

Tags / Kata Kunci: JDT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan