Ketua Jurulatih Harimau Malaya Diumum Petang Isnin

Diterbitkan: Isnin, 18 Januari 2016 7:37 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai individu yang bakal menjadi pilihan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk menguruskan skuad kebangsaan bakal terjawab petang Isnin.

Sebelum ini, FAM pernah menyatakan ketua jurulatih baharu yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dollah Salleh akan diketahui pada 31 Oktober tahun lepas sebelum dianjakkan kepada penghujung 2015.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad mengesahkan Panel Pemilihan FAM sudah menyenaraipendek beberapa calon untuk jawatan itu yang kini dipangku sementara oleh bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee selepas meletak jawatan susulan kekalahan memalukan 10-0 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, UAE, 3 September lepas.

Jelasnya baru-baru ini, lebih 30 calon yang menghantar borang permohonan untuk menguruskan skuad Harimau Malaya ini.

Bagaimanapun katanya, keutamaan akan diberikan kepada calon yang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak tempatan kerana yakin individu berkenaan sudah 'masak' dengan budaya tempatan.

"Mekanisme temu duga bagi jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara yang digunakan sebelum ini akan turut diguna pakai panel pemilihan pada sesi temu duga itu nanti," jelas Abdul Mokhtar.

Media sebelum ini melaporkan FAM sudah menyenarai pendek tiga calon yang mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Mereka adalah Kim Swee, bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim Bojan Hodak serta bekas jurulatih Sarawak Robert Alberts.

Ironinya, nama-nama yang dipilih ini berdasarkan sudah masak dengan budaya tempatan, namun belum boleh 'makan' sepenuhnya.

Tidak dinafikan Kim Swee, Hodak dan Albert mempunyai rekod baik sebelum ini, tetapi masih belum cukup ramuan untuk membawa skuad Harimau Malaya ke peringkat yang lebih tinggi.

Tidak jelas mengapa FAM takut untuk membuat perubahan besar dengan cuba melantik jurulatih luar negara yang mempunyai profil lebih baik. Mungkin juga faktor kewangan menyebabkan ia tidak dapat dilakukan.

Bertahun-tahun cerita bola sepak yang sama dengan pelbagai alasan - masa, pemain cedera, jadual ketat dan seribu lagi alasan lain. Bukan memperlekehkan kebolehan mereka, malah berterima kasih kerana telah memberi kisah yang boleh dibanggakan walaupun sekali dalam setahun.

Tetapi apa yang pastinya, cerita sama bakal dicoretkan.

Sebagai rekod, Kim Swee yang menguruskan skuad Bawah 23 Tahun memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2011 dan menang sekali, serta tewas tiga kali dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 selepas  tempat Dollah September lalu.

Manakala Bojan dari Croatia tidak asing lagi bagi peminat bola tempatan sejak tahun 2006 dengan melatih skuad My-Team (2006-2009), seterusnya membimbing Kelantan dengan tiga trofi - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia 2012.

Dan rekod Albert lebih warna-warni dengan pengalaman melatih Kedah dan Sarawak sehingga muncul juara Liga Perdana 1993 serta 2013, Home United FC (1999) sehingga juara Liga Singapura dan terbaharu membawa Arema FC (Indonesia) memenangi liga musim 2009-2010.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan