Vida-Kafa Meterai Kontrak Tajaan RM16 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 6:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman secara rasmi memeterai kontrak perjanjian penajaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada petang Jumaat.

Majlis tersebut menyaksikan Vida menjadi penaja utama pasukan The Red Warriors (TRW) selama dua musim dengan tajaan bernilai RM16 juta.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah beberapa penaja lain pasukan tersebut pada musim ini iaitu Cengal Jati, Sinar Harian dan Pelaburan Mara Berhad.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa enggan mendedahkan jumlah keseluruhan tajaan kerana bimbang akan wujud salah faham mengenai angka tersebut.

"Kita tak berhasrat nak umum jumlah penajaan takut nanti timbul salah faham. Kita kena runding dengan lebih terperinci mengenai syarat dengan setiap penaja," katanya.

Annuar berkata, buat masa ini Kafa masih lagi mengadakan perbincangan dengan sekurang-kurangnya lima lagi penaja bagi mencapai sasaran RM16 juta yang diperlukan pasukan itu musim ini.

"Kita belum capai sasaran RM16 juta, ada empat hingga lima penaja yang kita masih belum selesai berunding," katanya.

Pada masa sama, Annuar menyifatkan tajaan Vida kepada TRW berupaya mencetuskan gelombang kedua dalam industri bola sepak negara ini berikutan beberapa syarikat kosmetik turut berhasrat mengikut jejak langkah beliau.

"Bila beliau (Vida) terjun sertai TRW, di utara selatan ramai pakat dan jadi penaja. Kita anggap ia perkembangan positif dalam industri bola sepak.

"Bola sepak boleh dijadikan medium komersial yang diangkat kepada satu kedudukan lebih baik. Terima kasih kepada Datuk Seri (Vida) kerana mencetuskan gelombang euphoria bola sepak Kelantan," katanya.

Malah, Annuar yakin tahun 2016 merupakan musim kebangkitan pasukan Kelantan yang pastinya mampu menghidupkan peluang untuk sekurang-kurangnya meraih satu piala.

Sementara itu, Vida berharap tajaan tersebut menyuntik semangat pemain Kelantan untuk menjadi pasukan yang digeruni lawan pada aksi musim ini.

"Walaupun prestasi Kelantan tidak agak hambar tahun ini, saya harap dengan tajaan ini Kelantan akan muncul salah sebuah pasukan terkuat dalam Liga Malaysia," katanya.

Terdahulu Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida yang memakai persalinan berwarna merah jambu, berarak diiring jurulatih TRW, K Devan bersama barisan pemain pasukan itu dari Tingkat 1, Medan Mara menuju ke pentas di ruang legar bangunan tersebut.

Ia secara simbolik melambangkan jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak selama dua tahun.

Kesemua pemain turut memakai kemeja-T merah jambu iaitu warna rasmi pasukan tersebut bagi aksi Liga Malaysia musim 2016.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Affandi Hamzah, barisan exco badan induk itu dan 11 pemain. 

Antara pemain yang hadir ialah kapten pasukan, Mohd Bahdri Mohd Radzi (Piya), penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dan muka baharu, Indra Putra Mahayuddin.



Tags / Kata Kunci: Vida , Kafa , Annuar Musa , TRW

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan