Vida Cabar JDT Lawan TRW

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 5:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman mencabar pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan The Red Warriors (TRW) sebelum permulaan saingan Liga Malaysia 2016.

Usahawan wanita itu berkata, beliau memilih JDT kerana menyifatkan ia sebagai pertemuan antara buku dengan ruas.

"Walaupun Selangor kuat, begitu juga Pahang dan Kedah tapi kita pilih dua teratas. Kita lihat Kelantan hambar tahun lepas tapi pasukan ini perlu lawan pasukan sama kuat.

"Perlawanan buku bertemu ruas antara JDT dan Kelantan," katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian penajaan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada Jumaat.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau akan menghadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menyampai hasrat Vida itu.

"Perlawanan ini cetusan idea positif dan saya akan cuba sembah maklum kepada Tunku Mahkota Johor untuk sampaikan hasrat Datuk Seri Vida tadi," katanya.

Annuar berkata idea tersebut juga merupakan kehendak peminat yang mahu menyaksikan dua pasukan kreatif di negara ini berentap sesama sendiri.

Malah beliau yakin Tunku Ismail pastinya akan mempertimbangkan hasrat tersebut kerana beliau seorang yang dinamik dalam soal membabitkan kemajuan bola sepak negara.

"Terpulang kepada Tunku Ismail... saya fikir beliau akan pertimbangkannya. Beliau seorang yang dinamik dalam menerima idea demi memajukan bola sepak," katanya.

Annuar berharap agar perlawanan persahabatan itu dapat direalisasikan sebelum permulaan saingan Liga Malaysia yang bakal membuka tirainya pada Februari ini.

"Tidak mustahil sebelum permulaan musim kita pertemukan kedua-dua pasukan bagi menghargai penyokong Harimau Selatan dan The Red Warriors, mungkin boleh buat aktiviti amal. Saya terbuka mengenainya," katanya.

Beliau berkata sekiranya perlawanan persahabatan itu menjadi kenyataan, ia boleh diadakan sama ada di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan atau Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Boleh buat sama ada di Kelantan atau pinjam Stadium Bukit Jalil, lagipun ramai penyokong TRW di sini," katanya.


Tags / Kata Kunci: Vida , Kafa , JDT , TRW , Liga-M

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan