Blatter Mengaku Tidak Bersalah Ambil Rasuah - Bola Sepak | mStar

Blatter Mengaku Tidak Bersalah Ambil Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2015 11:14 AM

Blatter meninggalkan ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland ditemani peguamnya.

(Ubah saiz teks)

ZURICH: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Sepp Blatter yang digantung tugas, mengaku tidak bersalah di atas dakwaan rasuah berkaitan bola sepak.

Pihak berkuasa Switzerland turut membekukan akaun tertuduh yang mengandungi ratusan juta ringgit dan dipercayai hasil daripada kegiatan itu.

Blatter yang digantung bersama-sama naib presidennya, Michel Platini, untuk tempoh yang panjang, ditemani peguamnya ketika masuk dan keluar dari ibu pejabat FIFA di Zurich.

Beliau tidak memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media.

Namun, selepas perbicaraan yang mengambil masa lebih lapan jam itu selesai, peguamnya, Richard Cullen mengeluarkan kenyataan.

"Presiden Blatter berharap keputusan akan memihak kepada dirinya, kerana bukti cenderung ke arah itu.

"Presiden Blatter berkelakuan baik dan langsung tidak melanggar kod tatatertib FIFA. Siasatan ini sepatutnya ditutup dan penggantungan ditarik semula," kata Cullen menerusi kenyataan itu.

Pada Oktober lalu, pemerhati etika FIFA menggantung Blatter dan Platini selama 90 hari selepas mereka dinamakan dalam kes rasuah Switzerland. 

Jawatankuasa etika bebas turut mengenakan pengharaman selama enam tahun terhadap Chung Mong-Joon ahli perniagaan Korea Selatan yang muncul pencabar kepada Platini dalam saingan merebut jawatan presiden FIFA.

Setiausaha Agung FIFA Jerome Valcke diarahkan meninggalkan FIFA berhubung skandal tiket dalam satu kes berasingan digantung 90 hari. 


Tags / Kata Kunci: FIFA , Sepp Blatter
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan