Final Piala Malaysia: Syazwan Zainol Bayar Nazar Demi Kedah

Diterbitkan: Rabu, 9 Disember 2015 9:13 AM

Syazwan (kiri) bersama rakan sepasukan iaitu Liridon dan Sandro ketika menjalani latihan di Stadium Darulaman pada Selasa.

(Ubah saiz teks)

PEMAIN sayap Kedah, Syazwan Zainon membotakkan kepalannya sebagai membayar nazar apabila skuad Helang Merah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini setelah gagal melakukannya sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak menjangka pasukan Kedah mampu layak ke peringkat tersebut kerana terpaksa bersaing dengan pasukan Liga Super yang memiliki barisan pemain yang lebih hebat berbanding pasukan Kedah yang rata-rata dibarisi pemain muda.

"Alhamdulillah saya sudah membayar nazar dengan mencukurkan kepala setelah Kedah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini, inilah nazar saya sejak kita berjaya menjuarai Liga Premier dan mampu beraksi pada Piala Malaysia musim ini.

"Kedah memiliki kemampuan menandingi mana mana pasukan dalam Liga Malaysia tetapi bagi beraksi pada akhir Piala Malaysia kita perlukan tuah dan inilah yang berlaku kepada kita dan hasil usaha keras daripada kesemua pemain akhirnya membuahkan hasil.

"Kini kita akan beraksi pada perlawanan akhir dan kami kesemua pemain mahu mengulangi sejarah pasukan Kedah musim 2008 menewaskan Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada perlawanan 12 Disember ini," kata Syazwan.

Katanya, dia bersyukur kerana telah mengambil keputusan untuk bersama pasukan Kedah pada pertengahan musim 2013 walaupun terpaksa bersabar dengan beraksi di Liga Premier sebelum berjaya layak ke Liga Super musim depan.

"Saya tidak pernah menyesal meninggalkan Felda United untuk bersama Kedah kerana kini saya sudah mula menikmati kejayaan bersama pasukan Helang Merah dan permainan saya juga turut meningkat di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

"Khususnya sejak perlawanan suku akhir saya seolah mendapat tenaga dan motivasi baru setiap kali beraksi, setelah berjaya menjaringkan gol pada perlawanan suku akhir bertemu PKNS keyakinan saya terus melonjak.

Kini saya mahu membantu pasukan Kedah menjuarai Piala Malaysia musim ini bersama rakan sepasukan lain seperti Bang Seung Hwan, Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Chidi Edeh, Baddrol Bakhtiar, Syazwan Tajudin, Shafizan Hashim dan ketua pasukan Khyrul Helmi Johari serta lain-lain pemain Kedah," jelas Syazwan.

Tags / Kata Kunci: Kedah , Piala Malaysia , Helang Merah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan