Piala Sumbangsih 2016 Berlangsung 13 Februari

Diterbitkan: Rabu, 25 November 2015 8:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2016 menerusi Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah, akan berlangsung pada 13 Februari.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi entri terbaharu dalam laman Facebooknya menyatakan bahawa perlawanan sulung Liga Perdana 2016 pula, akan berlangsung sehari sebelum itu pada 12 Februari.

Perlawanan Piala Sumbangsih merupakan perlawanan pembuka tirai yang menyaksikan pertemuan antara juara Liga Super dan juara Piala Malaysia. 

Pemenang perlawanan berkenaan akan meraih tiga mata, yang turut dikira dalam kedudukan carta Liga Super. Untuk rekod, juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor merupakan pasukan paling banyak merangkul Piala Sultan Ahmad Shah sebanyak lapan kali - 1985,1987, 1990, 1996, 1997, 2002, 2009 dan 2010.

FAM masih mengekalkan format 24 pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana, masing-masing 12 pasukan bagi setiap liga berkenaan.

Bermula 2016, Football Malaysia Limited Liability Partner­ship (FMLLP) yang diterajui bekas Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd, Kevin Ramalingam bertanggungjawab menguruskan perjalanan Liga-M termasuk saingan Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Januari lepas, mengumumkan penubuhan FMLLP selepas menandatangani perjanjian dengan syarikat peneraju media antarabangsa, Media Partners & Silva (MP & Silva) yang memberi jaminan pendapatan RM1.26 bilion ke arah kerjasama itu, sepanjang tempoh kontrak selama 15 tahun.

Tags / Kata Kunci: Piala Sumbangsih , Liga M 2016

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan